Kelab bola sepak Brotherhood and Pride adakan majlis berbuka puasa

0

BINTULU: Kelab bola sepak Brotherhood and Pride yang juga dikenali dengan nama pasukan BPJ FC mengadakan majlis berbuka puasa bersama pemain dan pengurusan kelab itu di Surau Darul Syakirin Kampung Assyakirin Fasa 1 kelmarin.

Pengurusnya, Mohd Zaifulfadillah Junaidi berkata majlis itu melibatkan tahlil perdana, berbuka puasa bersama para pemain dan pengurusan pasukan serta majlis kesyukuran atas pencapaian pasukan itu menduduki tempat ketiga dalam Liga Piala Petronas 2015 lalu.

Majlis bacaan tahlil diketuai Imam Surau Darul Syakirin Rafaiee Jong turut dihadiri Pengerusi Surau Darul Syakirin Yusuf Ali, Pengerusi Kelab Bola Sepak Brotherhood and Pride Mokdar Julaihi dan Jurulatih BPJ FC Benfuadzen Bujang.

“Ini merupakan tahun kedua kami menganjurkan majlis seumpama ini untuk kelab dan para pemain BPJ bagi mengukuhkan hubungan baik antara pemain dan pengurusan pasukan,” tambahnya.

Pada majlis itu, pengurusan pasukan dan para pemain turut bersama Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip singgah di surau tersebut untuk menunaikan solat selepas menghadiri majlis lain di kampung tersebut.