Masyarakat Penan perlu hargai usaha kerajaan

0

MARUDI: Masyarakat Penan perlu menghargai usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya pemimpin tertinggi yang tidak mengabaikan masyarakat tersebut dengan membina pusat perkhidmatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata banyak pusat perkhidmatan luar bandar di Telang Usan dibina dan menaik taraf sosioekonomi masyarakat di sini.

“Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan kerajaan tidak pernah penat berusaha memajukan kawasan kita,” katanya pada Majlis Perasmian Bangunan Pusat Perkhidmatan Luar Bandar (RSC) di Long Jekitan, Silat di sini petang Jumaat lalu.

Pusat tersebut dirasmikan Jabu sambil meminta agar masyarakat Penan menjaga RSC dengan baik.

Dennis berkata kerajaan BN membawa kemudahan ke kawasan berkenaan dan tidak menidakkan sama sekali sebaliknya meneruskan pembangunan di Silat, Hulu Baram.

“Masyarakat Penan juga dinasihatkan supaya jangan suka mendengar dakyah pembangkang yang mengelirukan mereka dan menghasut mereka untuk tidak menerima pembangunan,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Ketua Eksuktif RECODA Tan Sri Datuk Amar Wilson Baya Dandot, Datu Ngenang Janggu, Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing Anyie, Residen Bahagian Miri Anthonio Kahti Galis, Temenggung Datuk Hassan Sui dan Temenggung Joseph Ngau Lian.