Penduduk Batu Kawa mahu Liu Thian Leong mewakili mereka

0

KUCHING: Ketua Kaum Desa Wira III, Batu Kawa Baie Aba mewakili penduduk kawasannya menamakan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Liu Thian Leong sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi konstituensi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Baie berkata, beliau begitu mengenali Liu yang juga setiausaha publisiti UPP yang turut bekerja sebagai guru.

“Beliau bukan sahaja mempunyai rupa tetapi baik hati dan kami mahukan beliau berdiri untuk menjadi wakil di sini kerana beliau senang untuk didekati,” katanya ketika menghadiri Upacara Ngiling Tikai di Dewan Masyarakat Desa Wira III di sini malam kelmarin (Sabtu).

Seramai 300 orang telah menghadiri majlis tersebut yang diadakan dengan kerjasama Jawantankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Desa Wira III dan UPP Batu Kawa.

Sementara itu, Liu berkata cawangan UPP walaupun masih baharu di kawasan itu tetapi telah banyak membantu dan berkhidmat kepada masyarakat sejak tahun lepas.

Tegasnya, banyak individu muda yang telah menyertai UPP kerana percaya masih ada harapan.

“Majoriti keahlian adalah daripada kalangan orang muda. Di cawangan Batu Kawa terdapat 80 peratus daripada mereka yang muda menyertai UPP. Sangat aktif dan telah menjalankan beberapa aktiviti,” katanya.

Liu menegaskan juga bahawa cawangan akan berkhidmat untuk rakyat pada bila-bila masa dan bukan pada masa pilihan raya sahaja.

“Saya akan mencuba sebaik mungkin untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di sini,” katanya.

Sementara itu beliau , Dewan Masyarakat Desa Wira III juga memerlukan sedikit peruntukan untuk kerja-kerja penambahbaikan dan akan siap dalam tempoh dua bulan lagi.

Tambahnya, perkara itu akan dibawa kepada Presiden UPP dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh yang berkemungkinan dapat memperuntukkan sedikit geran untuk projek itu.