Penduduk rumah panjang digesa terus bersatu hati

0

MIRI: Penduduk rumah panjang digesa untuk terus bersatu hati dan tidak berpecah-belah sebagaimana kukuh serta teguhnya rumah panjang berkenaan.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata saling bekerjasama dan kesefahaman perlu ada dalam setiap diri mereka untuk terus mengekalkan nilai rumah panjang itu sendiri.

“Seperti panjang dan kukuhnya rumah panjang, seperti itulah kita harus bersatu hati dan tidak berpecah-belah kerana tidak memberi apa-apa makna atau tidak membantu kita ke arah lebih baik sekiranya kita tidak saling bersama dalam melakukan sesuatu perkara,” katanya pada Majlis Ngiling Tikai di Rumah Dok Kiai dan Rumah Wak Ngayak di Sungai Teniku, Jalan Miri-Bintulu sempena Program Membara Gawai Dayak 2015 anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian Miri dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senadin di sini petang semalam.

Hadir sama isterinya, Datin Christina Kong, Pegawai Penerangan JASA Bahagian Miri Dayang Norazelina Hamdan, Kapitan Chong Ah Muk, Kapitan Chai Kuen Ming, Kaunselor Joanna Ping serta tetamu lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mengabaikan pembangunan rakyatnya termasuk mereka yang tinggal di luar bandar.

Katanya kerajaan amat komited memastikan pembangunan yang sama di bandar turut dikecapi mereka yang tinggal jauh dari bandar.

“Oleh itu, kita perlu terus memberi sokongan terhadap BN bagi mencapai pembangunan berterusan kerana apa yang kita lihat dan nikmati masa kini ke arah lebih baik berbanding sebelumnya,” ujar beliau.

Kedua-dua rumah panjang di bawah kawasan Senadin masing-masing mempunyai hubungan jalan baik dan bekalan elektrik sejak Disember 2013.

“Daripada tiada elektrik, kita berikan. Daripada jalan tanah ke jalan berbatu dan sekarang mereka menikmati penghubung jalan yang bertar (berturap) dan lebih baik bagi memudahkan ke bandar Miri dan Marudi,” tambahnya.

Pada majlis itu, Lee menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM5,000 masing-masing kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Dok dan Rumah Wak bagi melaksanakan aktiviti.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM5,000 untuk Rumah Dok yang memohon membina sebuah chapel dan tambahan RM5,000 untuk Rumah Wak memasang jubin di kaki lima serta kipas angin.