Rakyat diingat fahami dasar-dasar kerajaan

0

SPAOH: Rakyat diingatkan memahami dasar-dasar dilaksanakan kerajaan agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan pihak tertentu sehingga merugikan mereka sendiri.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sebarang maklumat perlu diteliti dan dihayati agar rakyat dapat merasai dan menikmati arus pembangunan lebih mapan dan menguntungkan.

Beliau berkata rakyat jangan mudah terpengaruh dan terperdaya dengan apa yang dikatakan pihak tertentu kononnya kerajaan tidak memberi perhatian kepada setiap permohonan mereka.

Jelasnya, kerajaan tidak meminggirkan rakyat di luar bandar malah kebajikan mereka terus diberi perhatian.

“Kerajaan banyak merancang pelbagai program pembangunan dari segi peningkatan sosial, kemudahan asas malah pembangunan ekonomi seperti penanaman sawit, getah, koko dan lada.

“Ini membuktikan kerajaan cukup prihatin terhadap masalah dihadapi rakyat dan rakyat harus berterima kasih dan bersyukur atas nikmat pembangunan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Israk Ramadan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Bahagian Betong dengan kerjasama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Spaoh di sini petang kelmarin.

Di samping itu, rakyat perlu mengekalkan perpaduan kaum tanpa ada perbalahan kefahaman antara satu sama lain.

“Perpaduan perlu diwujudkan kerana tanpa perpaduan boleh merugikan rakyat.

“Justeru, apa kita lihat pembangunan amat baik di Spaoh dengan terbinanya banyak jalan kampung atau jalan lorong yang dapat menghubung Kampung Lot Sungai Penggan, Kampung Hulu, Kampung Baru dan seterusnya Kampung Hilir Spaoh.

“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan melihat suasana kampung yang baik dan seharusnya dinikmati semua rakyat,” ujarnya.

Terdahulu, Uggah meluluskan peruntukan berjumlah RM30,000 serta 300 kerusi plastik manakala Robert Lawson Chuat menyumbang RM20,000 untuk masjid dan surau.

Hadir sama Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel, Timbalan Residen Betong Pegawai Daerah Betong Dr Richard Rapu serta Pegawai JASA Betong Tony Malang.