Rakyat Dudong rugi kerana silap pilih

0

Rumah panjang di DUN Dudong masih memerlukan kerajaan BN

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Rumah-rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong masih memerlukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong Dato Sri Dr Benny Lee berkata rakyat harus memberi mandat kepada BN semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Rakyat di 180 buah rumah panjang kawasan Dudong harus belajar daripada kesilapan lalu.

“Kita semua menanggung rugi kerana tersilap pilih. Tiada apa yang kita dapat nikmati khususnya pembangunan daripada kerajaan selama lima tahun lalu.

“Oleh itu, kita perlu fikirkan sedalam-dalamnya kesilapan itu dan bangkit menyokong BN pada PRN akan datang,” katanya pada Majlis Ngiling Bidai di Rumah Grace Itun, Sungai Salim di sini malam kelmarin.

Hadir sama Datin Sri Leanne Ngoi, Setiausaha SUPP Dudong Kong Sing Ping, Setiausaha Penganjur SUPP Dudong Huong Haw Ching, Ketua Wanita SUPP Dudong Keu Siew Kee, Pengerusi Jawatankuasa Unit Bumiputera SUPP Dudong Kaunselor Tuai Rumah Ladong Engkol, Kaunselor Christopher Ugot Nyaring dan Tuai Rumah Grace Itun.

Majlis dihadiri kira-kira 300 penduduk dan tuai-tuai rumah sekitar DUN Dudong.

Dr Benny yang juga ketua pegawai eksekutif merangkap pengetua Kolej ITA memberitahu, rumah-rumah panjang di kawasan Dudong berpotensi dibangunkan setaraf dengan bandar.

“Banyak yang kita dapat buat sekiranya BN berupaya merampas semula kerusi DUN Dudong.

“Antaranya membangunkan rumah panjang dengan pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur seperti di bandar.

“Selain itu, kita membangunkan golongan wanita melalui kraf tangan yang mampu menjana pendapatan serta mewujudkan sektor inap desa,” jelasnya.

Bercakap mengenai perkara lain, Dr Benny meminta rakyat menyokong parti komponen BN bagi bekerjasama merampas semula kerusi DUN Dudong.

Bercakap mengenai Majlis Ngiling Bidai, beliau menyifatkan ia satu contoh baik menunjukkan semangat perpaduan dan harmoni.

“Dengan adanya majlis ini, kita dapat mengeratkan hubungan semua kerana secara langsung dapat bekerjasama menjalankan setiap tugasan dan berhimpun bersama,” katanya.