Batalkan semua cadangan pembinaan empangan besar

0

Gantikan dengan sumber tenaga alternatif seperti diusul Makmal Tenaga Diperbaharui dan Bersesuaian

Oleh Clare Cinderella //

PERLU DIPERTIMBANG: Abun menunjukkan laporan akhbar disiarkan di muka depan The Borneo Post, di Miri semalam.

PERLU DIPERTIMBANG: Abun menunjukkan laporan akhbar disiarkan di muka depan The Borneo Post, di Miri semalam.

MIRI: Gerakan Anak Sarawak (GASAK) meminta kerajaan negeri membatalkan semua cadangan pembinaan empangan besar di seluruh negeri dan menggantikannya dengan sumber tenaga alternatif seperti diusulkan oleh Makmal Tenaga Diperbaharui dan Bersesuaian (REAL).

Presiden GASAK Abun Sui Anyit berkata gerakan itu menaruh harapan tinggi kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem agar mempertimbang usul dikemukakan REAL iaitu menggunakan sumber tenaga alternatif bagi menggantikan rancangan membina 12 atau lebih empangan hidroelektrik di seluruh negeri ini.

Beliau memberitahu demikian ketika merujuk laporan akhbar disiarkan The Borneo Post dan Utusan Borneo semalam, mengenai kunjungan  oleh ADUN Batu Lintang See Chee How bersama Pengarah REAL Profesor Dr Daniel M Kammen, Pengurus Green Empowerment Borneo Programme Gabriel Wynn dan Pengerusi Jaringan Selamatkan Sungai-Sungai Sarawak (SAVE Rivers) Peter Kallang.

Menerusi pertemuan selama sejam itu, Adenan mendengar pembentangan oleh Dr Kammen mengenai manfaat menggunakan tenaga diperbaharui seperti solar, angin, penggunaan biomas secara mapan dan mikro hidro, bagi menggantikan empangan hidro mega yang dirancang di serata negeri.

“Saya dan GASAK amat berterima kasih kepada ADUN Batu Lintang See Chee How bersama pakar yang dibawanya atas usaha mereka yang bukan sahaja berbual kosong dengan Ketua Menteri tetapi tampil bersama usul-usul mengenai alternatif terbaik bagi menggantikan empangan mega tersebut,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Abun berkata GASAK turut menggesa semua menteri kabinet negeri menyuarakan pendirian mereka sama ada negeri ini benar-benar memerlukan lebih banyak empangan mega atau cadangan pembinaan tersebut wajar digantikan dengan sumber tenaga alternatif.

Semasa pertemuan bersama  Adenan, Kallang turut menyerahkan tandatangan lebih 8,000 penduduk Baram yang terjejas berikutan cadangan pembinaan Empangan Baram dengan Adenan turut menyatakan hasrat beliau mahu melawat penduduk Baram selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Selain Abun, beberapa ahli PKR Cawangan Baram dan Miri turut hadir pada sidang media tersebut semalam.