Masjid, surau digesa tangani masalah sosial

0

Aktiviti kemasyarakatan, majlis ilmu mampu elak remaja terjebak dengan gejala tidak sihat

SANDAKAN: Jawatankuasa masjid dan surau diminta memainkan peranan lebih aktif dan berkesan untuk bersama-sama kerajaan menangani masalah sosial dalam kalangan remaja.

ADUN Sekong Datuk Samsudin Yahya berkata, institusi itu mampu menangani masalah berkenaan melalui aktiviti bersifat kemasyarakatan dan majlis ilmu dalam usaha membendung generasi muda hari ini terjebak dengan keruntuhan akhlak dan moral.

“Lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia ini, kami berharap pihak jawatankuasa masjid dan surau dapat menjalankan aktiviti keagamaan dengan baik di setiap masjid dan surau di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan kepada 13 masjid dan 23 surau bagi melaksanakan aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan ini, di Masjid Indah Jaya di sini kelmarin.

Samsudin yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi berkata, institusi masjid sememangnya dihormati oleh masyarakat setempat dan sewajarnya mampu memainkan peranan sebagai pusat membentuk masyarakat berilmu dan berjiwa murni.

Tambah beliau, dalam arus perkembangan dan kemajuan dunia hari ini, masjid dan surau tidak lagi boleh menjadi pusat untuk menunaikan ibadat semata-mata.

Oleh itu katanya, pengurusan masjid dan surau boleh mempelbagaikan aktiviti mengikut perkembangan semasa kerana banyak masjid hari ini telah mempunyai kemudahan komputer dan teknologi maklumat.

“Jika masjid mempunyai kemudahan ini, orang ramai boleh memanfaatkannya bagi tujuan ilmu dan mempelajari sesuatu yang baik dan berguna,’’ katanya.

Samsudin berkata, penyerahan sumbangan kepada jawatankuasa masjid dan surau secara tidak langsung dapat membantu pihak pengurusan masjid dan surau membeli makanan atau minuman  untuk mengadakan jamuan atau moreh selepas melakukan solat tarawih.

Beliau juga mahu umat Islam mengukuhkan hubungan silaturahim sempena Ramadan dan mengukuhkan perpaduan tanpa mengira fahaman politik atau latar belakang serta kedudukan.