Projek 1MSAC bukan bersaing dengan Projek Impian Sarawak DAP

0
RASMI: Salang (tengah) menandatangani plak simbolik majlis perasmian projek berkenaan.

RASMI: Salang (tengah) menandatangani plak simbolik majlis perasmian projek berkenaan.

JULAU: Projek dilaksanakan di bawah Lembaga Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC) bukan untuk bersaing dengan Projek Impian Sarawak Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Pengerusi 1MSAC Datuk Joseph Salang berkata projek 1MSAC adalah projek berasaskan komuniti manakala Impian Sarawak diperkenalkan DAP adalah untuk kepentingan politik.

Salang berkata 1MSAC bagaimanapun tetap gembira sekiranya DAP merasakan mereka dapat membantu.

“Bagi kami ia bukan satu kesalahan. Maksud saya mereka hanya mengisi jurang tetapi apa yang kami lakukan dalam 1MSAC, kami tidak menghebahkan atau melaung kepada rakyat.

“Jika rakyak gembira, kami juga gembira. Itulah cara dan bagaimana kami bekerja,” katanya ketika ditanya mengenai laporan Malaysiakini mendakwa projek 1MSAC adalah sama dengan Impian Sarawak oleh DAP dalam usaha memenangi hati rakyat luar bandar menjelang Pilihan Raya Negeri.

Terdahulu, Salang merasmikan Majlis Pelancaran Projek Hidro Mikro di Rumah Nyayang Angie di Nanga Nilau, Sungai Ensiring kira-kira lima jam menaiki perahu dari jeti Nanga Entabai di sini.

Ketika ditanya jumlah kos yang dibelanjakan 1MSAC bagi membiayai projek-projek di Sarawak, Salang yang juga Ahli Parlimen Julau bagaimanapun tidak mengulas tentang bajet atau kos yang digunakan.

Sebaliknya, beliau mengulangi dengan menjelaskan apa yang dilaksanakan oleh 1MSAC berasaskan komuniti dan terus dilaksanakan selagi ada keperluan.

“Kami melaksanakan projek tersebut berdasarkan permintaan dan keperluan.

“Sekiranya tidak berminat kami berikannya kepada orang lain yang mahukannya,” tambah beliau.

Sementara itu, pelaksanaan projek Sistem Mikro Hidro iM Sarawak oleh MSAC adalah yang kelima berjaya diselesaikan.

Kejayaan menyiapkan projek tersebut membolehkan penduduk rumah panjang terbabit menikmati bekalan elektrik 24 jam secara percuma.

“Sebelum ini, kami membelanjakan kira-kira RM4,000 sebulan untuk diesel bagi kegunaan generator membolehkan kami menikmati bekalan elektrik selama empat hingga lima jam elektrik sehari.

“Ia sungguh membebankan selain perlu berjimat cermat menggunakan bekalan elektrik yang ada bagi menyelesaikan kerja-kerja rumah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Projek Belayong Jampong berkata sistem mikro hidro dapat menjana kira-kira lapan kilowatt tenaga elektrik dan mencukupi bagi kegunaan 18 keluarga rumah panjang terbabit.

Projek tersebut dibina secara gotong-royong antara penduduk rumah panjang.