Sepuluh ekar tanah untuk setiap keluarga

0

341 pintu rumah panjang Moh/Lio Matu akan mendapat bantuan Skim Pulut Melaya daripada k’jaan

Oleh W.Bolly Ongie //

RAKYAT DIBERI TANAH: 341 pintu rumah panjang Moh/Lio Matu akan mendapat tanah berkebun getah seluas 10 ekar setiap pintu atau keluarga.

RAKYAT DIBERI TANAH: 341 pintu rumah panjang Moh/Lio Matu akan mendapat tanah berkebun getah seluas 10 ekar setiap pintu atau keluarga.

MARUDI: Sebanyak 341 pintu rumah panjang di kawasan Moh/Lio Matu akan mendapat bantuan Skim Pulut Melaya daripada kerajaan dengan setiap pintu atau keluarga tersebut mendapat kawasan tanah berkebun getah seluas 10 ekar.

Semua penerima terbabit melibatkan penduduk Long Semiang (52 pintu), Long Tunggan (73 pintu), Lio Mato (74 pintu), Long Selaan (45 pintu) serta Long Moh (97 pintu) dan jumlah itu tidak termasuk penerima kawasan lain yang akan mendapat bantuan sama.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang ketika mengumumkan mengenai perkara itu pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Long Semiang, Hulu Baram, Ahad lalu turut meminta penduduk mendapat bantuan projek penanaman getah berkualiti tinggi itu supaya terus kekal dan menjalin kerjasama erat dengan kerajaan.

Pada masa sama, beliau juga mahu masyarakat di Baram yang sudah menerima pembangunan disalurkan kerajaan supaya terus kekal bersama kerajaan agar mereka berterusan menerima pembangunan.

“Sebagai contoh pada Julai 2010 lalu, saya membawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Long Banga dan beliau meluluskan sistem hidro menelan belanja RM26 juta, beliau juga membangunkan Long Beruang dan Long Peluan dengan tanaman getah berkualiti tinggi serta meluluskan RM300 juta menaik taraf jalan pembalakan diguna pakai dari Bario ke Pa’ Daleh.

“Manakala Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan RM60 juta untuk membina empat jambatan di Long Peluan dan menerusi peruntukan tersebut keadaan jalan raya turut bertambah baik dan dibina terus ke jalan utama menuju ke Lio Mato.

“Kerajaan juga akan menubuhkan sekolah menengah K9 di Long Beruang untuk masyarakat Penan, Saban dan Kelabit sebagaimana yang sudah dibangunkan di SK Long Bedian, Apoh yang menempatkan lebih 200 pelajar kaum Penan dan Kayan.

“Inilah semua pembangunan yang dibawa kerajaan kepada penduduk luar bandar dan untuk merealisasikan pembangunan tersebut, kerajaan negeri juga membina Stesen Pertanian Bersepadu di Long Beruang,” tambah beliau.

Sehubungan itu, Jabu mahu penduduk di Telang Usan dan kawasan Baram terus memberi sokongan kepada Dennis Ngau selaku ADUN Telang Usan dan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau.

Katanya jika mereka memerlukan bantuan boleh terus datang dan berhubung dengan kedua-dua wakil rakyat tersebut.

Pada majlis tersebut, Jabu turut meluluskan geran kerajaan berjumlah RM15,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Semiang bagi menyambung jalan simen dari blok ke blok rumah panjang lain di kampung tersebut melalui kerja gotong-royong.

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing Anyie, Residen Bahagian Miri Anthonio Kathi Galis serta ketua-ketua jabatan.

UNTUKMU: Wakil penduduk, Danny Lawai (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Jabu sambil disaksikan tetamu lain.

UNTUKMU: Wakil penduduk, Danny Lawai (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Jabu sambil disaksikan tetamu lain.