Airbus, AirAsia hadapi tuntutan mahkamah

0

SINGAPURA: Sebuah firma guaman penerbangan terkemuka dunia memfailkan tuntutan mahkamah bagi pihak keluarga penumpang pesawat AirAsia, Penerbangan 8501, yang terhempas di Laut Jawa Disember tahun lepas.

Pada 28 Dis 2014, pesawat jenis Airbus A320 itu terhempas ketika cuaca buruk dan mengorbankan kesemua 155 penumpang dan anak kapalnya ketika dalam pener-bangan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura.

Siasatan awal mendapati, selain faktor cuaca, pesawat itu juga mengalami masalah pada sistem “terbang-dengan-wayar”.

Pengetua Wisner Law Firm dari Chicago, Floyd Wisner, yang terlibat banyak kes besar nahas udara sejak dua dekad lepas, termasuk yang melibatkan pesawat Airbus, berkata pesawat jenis itu mengalami masalah sejak beberapa tahun lepas.

“Airbus dan pengeluar-nya sedar masalah yang menyebabkan perlindungan terbang-dengan-wayar gagal berfungsi, tetapi nampaknya, mereka tidak berbuat apa-apa mengenainya, walaupun telah banyak kali berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Wisner juga membidas AirAsia kerana menawarkan kepada keluarga terjejas hanya separuh daripada jumlah bayaran pampasan yang diberi kepada nahas udara lain, dan berkata syarikat penerbangan itu akan dinamakan sebagai pihak dalam tindakan undang-undang di Amerika.

“AirAsia tidak menangani tuntutan penumpangnya mengikut standard antarabangsa, tetapi melayan penumpangnya berbeza dengan layanan yang diberi kepada penumpang MH370, MH17 dan Germanwings.

“Walaupun pemilik Air-Asia, (ketua pegawai eksekutif kumpulan Tan Sri) Tony Fernandes berjanji keluarga mangsa akan diberi layanan adil, tetapi AirAsia membuktikan bahawa ia adalah syarikat penerbangan tambang rendah dan pampasan rendah,” katanya.

Wisner berkata, setakat ini, tuntutan mahkamah itu hanya mewakili 10 keluarga, tetapi beliau menjangka banyak keluarga lain akan menyertainya.

“Banyak lagi keluarga di Indonesia dan beberapa negara lain yang telah berbincang dengan kami dan kami bersedia berbincang dengan keluarga yang ingin menyertai kes undang-undang ini,” katanya.

Tuntutan mahkamah itu, yang difailkan di negeri Illinois, Amerika, menyata-kan bahawa “ketika pesawat yang mengalami nahas itu meninggalkan Airbus yang menjadi defendan dalam tuntutan berkenaan, ia mempunyai kecacatan dan berada dalam keadaaan berbahaya yang tidak sepatutnya”.

Tuntutan itu juga menamakan Honeywell International, Motorola Inc dan pembekal lain sebagai defendan. — Bernama