Diikat, dirompak

0

Oleh Michael Ubam//

 

LOKASI: Isteri pengadu bersama anaknya menunjukkan di mana pengadu diikat sebelum wang dan barang kemas dikebas perompak awal pagi semalam.

LOKASI: Isteri pengadu bersama anaknya menunjukkan di mana pengadu diikat sebelum wang dan barang kemas dikebas perompak awal pagi semalam.

SIBU: Sepasang suami isteri warga emas kehilangan hadiah pemberian Hari Ibu dan Hari Bapa berupa wang tunai RM9,000 selain barang kemas dan seutas jam tangan selepas mereka menjadi mangsa rompakan bersenjata di rumah teres Jalan Wawasan di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pecah masuk pada jam 1.30 pagi itu, pengadu, 68, berada di bilik tingkat bawah bersama isterinya, 61, apabila empat lelaki tidak dikenali menyelinap masuk melalui tingkap dapur dan bersenjata tajam.

Seorang anak lelaki mangsa, 35, berada di bilik tidur di tingkat atas ketika pengadu diarah berdiam diri dan kedua-dua belah tangannya diikat dengan wayar.

Menurut pengadu, wang tunai berjumlah RM9,000 disimpan di dalam sampul merah merupakan hadiah pemberian anak-anak mereka semasa Hari Ibu dan Hari Bapa sebelum ini.

Ketika pengadu diikat, beliau sempat memberitahu mereka tidak perlu mengikat tangan isterinya kerana lumpuh sebelah badan selepas diserang angin ahmar.

Seorang anak lelaki pengadu, 30, tinggal di kawasan perumahan sama memberitahu ayah dan ibunya turut kehilangan 13 bentuk cincin emas termasuk dua bentuk yang dilucutkan daripada jari ayahnya.

Selain itu, perompak juga mengambil seutas rantai emas lama dan seutas jam tangan milik pengadu.

Difahamkan beberapa keping sijil simpanan tetap turut dikebas daripada simpanan mereka.

Selepas berpuas hati dengan habuan mereka, kumpulan perompak tersebut melarikan diri tanpa mendatangkan sebarang kecederaan kepada pengadu dan isterinya sebelum bertindak memanggil anak lelakinya turun ke tingkat bawah.

Berdasarkan laporan polis oleh pengadu sekitar jam 3 pagi, kumpulan perompak tersebut mungkin orang tempatan dan ada juga yang bercakap seperti warga Indonesia.

Bertindak atas laporan, sepasukan polis diketuai Ketua CID Yeoh Chun Shyan melakukan pemeriksaan di rumah dan kawasan sekeliling sejak jam 11 pagi semalam.

Pasukan Unit K9 turut dikerahkan ke tempat kejadian di mana anjing pengesan polis menunjukkan arah ke kawasan tapak pembinaan tidak jauh dari situ.

Sejurus itu, polis memberkas enam lelaki warga asing yang tinggal di rumah pekerja di situ kerana tidak mempunyai dokumen pendatang asing yang sah.

Semua warga asing terbabit dibawa ke balai untuk membantu siasatan polis berhubung kes rompakan tersebut.

Nilai kerugian yang dialami pengadu dijangka melebihi RM20,000. Kes tersebut kini dalam siasatan polis.