KPWKM menetapkan tiga definisi bagi ibu tunggal

0

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menetapkan tiga definisi bagi ibu tunggal di negara ini, kata Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

“Kita telah membawa kertas kerja ke kabinet bertajuk Takrifan Bagi Ibu Tunggal dan Pelan Tindakan Ibu Tunggal di Malaysia kerana kita dapati terlalu banyak istilah untuknya di negara ini.

“Oleh itu, kita membuat satu persamaan agar terdapat satu pelan tindakan yang boleh mencapai satu tujuan,” katanya sambil menambah, definisi itu digariskan dalam Pelan Tindakan Ibu Tunggal dan telah diluluskan oleh kabinet.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media selepas me-rasmikan Seminar Literasi Undang-Undang (LUU) di sini, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai definisi tersebut, pertama adalah ibu yang telah diceraikan secara hidup atau mati masih menanggung anak.

“Definisi kedua adalah seorang isteri yang menjadi ketua keluarga mencari nafkah, serta menanggung suami yang tidak berupaya untuk bekerja disebabkan sakit dan mempunyai anak masih dalam tanggungan.

“Dan definisi ketiga ialah wanita yang mengangkat anak,” ujarnya sambil menambah dalam definisi ke-tiga itu termasuk mengangkat anak atau mempunyai anak luar nikah.

Jelas Rohani, terdapat definisi ibu tunggal berbeza digunakan oleh banyak pihak sebelum ini sehingga-kan Jabatan Statistik Malaysia mencatatkan jumlah ibu tunggal pada Bancian Penduduk 2010 di Malaysia adalah 800,000 orang.

“Semasa kita membuat program dan peruntukan untuk ibu tunggal dan mengumpulkan ibu tunggal ini, terdapat bermacam definisi.

“Malah ada definisi ibu tunggal sebelum ini adalah ibu yang bercerai walaupun tiada anak dan ia salah.

“Selepas adanya definisi ini, Jabatan Statistik membersihkan data (daripada 800,000 sebelumnya) hanya 235,000 orang ibu tunggal di negara ini. Ia mudah diuruskan,” tegasnya.

Sebab itu tegasnya, KPWKM menetapkan definisi ibu tunggal bermaksud ibu yang mempunyai anak.

“Dengan adanya definisi tersebut, istilah sama dibawa oleh Jabatan Perangkaan dan pegawai di kementerian,” ujarnya pada masa kini telah meminta Jabatan Perangkaan membahagikan ibu tunggal kepada kategori khas.

“Saya telah meminta pengarah Jabatan Perangkaan untuk membahagikan ibu tunggal kepada kategori iaitu usia, kerjaya dan kelayakan.

“Jadi, kita benar-benar dapat membuat program memenuhi dan sesuai mengikut kehendak ibu tunggal,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Rohani memaklumkan walaupun terdapat pengecualian daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk definisi ketiga iaitu bagi anak angkat, namun sebagai rakyat majmuk memang terdapat anak-anak dijaga sendiri tanpa berkahwin di negara ini.

“Bukan saya menggalak, tetapi ia memang berlaku. Kita tidak dapat meminggirkan anak-anak tersebut dan saya tahu ia adalah prinsip JAKIM mengecualikan yang terakhir,” ujarnya sambil menambah, JAKIM menerima bagi mengangkat anak.

Walaupun tidak diterima JAKIM, namun untuk takrifan terpaksa diambil kerana diperlukan dalam undang-undang.

“Bukan tujuan menggalak anak luar nikah, tetapi ia memang sudah ada… harap difahami.

“Bagi pencen juga sama, anak tidak sah taraf juga diberi hak dan boleh menuntut pencen bapa dan ibunya. Hanya JAKIM tidak bersetuju… tidak apa, mereka berkecuali,” ujarnya.