Lelaki maut terbabas gara-gara jalan licin

0
PERIKSA: Mayat mangsa diperiksa oleh pegawai perubatan sebaik tiba di HUS.

PERIKSA: Mayat mangsa diperiksa oleh pegawai perubatan sebaik tiba di HUS.

KUCHING: Permukaan jalan raya licin dipercayai menyebabkan sebuah motosikal terbabas sehingga mengorbankan nyawa penunggangnya dalam satu kemalangan di Batu 8, Jalan Matang di sini kelmarin.

Mangsa ialah Mohd Fahdeli Salim berusia 30 tahun dan berasal dari Kampung Boom, Oya.

Menurut sumber, semasa kejadian mangsa dikatakan menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari tempat kerjanya di Pending menuju ke rumahnya di Matang sekitar jam 8 malam.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Avanza.

“Mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke rumahnya di Matang apabila motosikalnya itu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sehingga menyebabkan dia tercampak ke laluan bertentangan.

“Keadaan mangsa bertambah parah apabila sebuah kereta jenis Avanza yang bergerak lurus di laluan tersebut tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa,” kata sumber.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa oleh anggota paramedik.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan keluarga mangsa juga telah dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut.

Manakala pemandu dan penumpang Avanza dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Ng Ah Lek semasa dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut dan memberitahu siasatan pihak polis masih dijalankan.

“Cuaca semasa kejadian baru sahaja selepas hujan dan permukaan jalan raya licin. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata Ng.