Operasi mencari nelayan dikhuatiri lemas diteruskan

0
JPAM kerah dron dalam usaha mencari nelayan dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke laut.

JPAM kerah dron dalam usaha mencari nelayan dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke laut.

KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut berdekatan Kampung Sungai Cina, Sempadi, Lundu diteruskan hari ini.

Mangsa ialah Ujang Musa, 58, berasal dari Kampung Stoh, Sempadi, Lundu.

Operasi tersebut dijadual disambung semula pada jam 7 pagi hari ini selepas ditangguh semalam ekoran keadaan semakin gelap dan laut bergelora.

Semalam seramai 37 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyertai operasi tersebut.

Difahamkan, JPAM turut menggunakan dron untuk melakukan pemantauan melalui udara selain turut dibantu oleh unit PDRM.

Isnin lepas, mangsa dikatakan turun ke laut untuk menangkap ketam dengan menaiki sebuah bot sekitar jam 5 pagi.

Mangsa dipercayai terjatuh dari botnya sekitar jam 9.30 pagi berikutan laporan angin kencang melanda di sekitar kawasan itu.

Insiden kehilangannya diketahui selepas rakan mangsa serta beberapa penduduk kampung berdekatan menjumpai bot mangsa yang enjinnya masih hidup kira-kira 7 butu nautika dari Pulau Sempadi.

Rakan mangsa kemudian memaklumkan insiden itu kepada pihak berkuasa.

Ekoran laporan itu polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan terus melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa..