Pan Borneo: Jajaran Telok Melano-Sematan dimulakan Sept

0
CERIA: Najib beramah mesra dengan pihak yang terlibat dengan Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo semalam. Turut hadir (dari kiri) Morshidi, Adenan, Ahmad Urai, Dr Ali dan Zohari. —  Gambar Bernama

CERIA: Najib beramah mesra dengan pihak yang terlibat dengan Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo semalam. Turut hadir (dari kiri) Morshidi, Adenan, Ahmad Urai, Dr Ali dan Zohari. — Gambar Bernama

KUCHING: Fasa pertama projek Lebuhraya Pan Borneo akan dimulakan dengan pakej Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 kilometer seawal bulan September 2015.

Menurut kenyataan Kementerian Kerja Raya yang dikeluarkan semalam, pakej berkenaan melibatkan pembinaan jajaran baharu satu lorong dua hala (single carriageway) untuk menghubungkan pekan kecil dan beberapa perkampungan di kawasan Telok Melano yang kini hanya boleh dihubungkan melalui jalan laut.

“Kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri dan Syarikat Lebuhraya Borneo Utara telah memuktamadkan rundingan perjanjian bagi pelaksanaan projek Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, melibatkan jajaran sepanjang 773 kilometer,” menurut kenyataan sempena dengan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak semalam.

Majlis itu diadakan di Putrajaya antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Sarawak dan Syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Pengerusi LBU Tan Sri Ahmad Urai Hakim Abang Mohideen, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob.

Komponen ‘kick-off’ projek Lebuhraya Pan Borneo melibatkan jajaran Simpang Jalan Nyabau ke Simpang Jalan Bakun sepanjang 43 kilometer telah dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Mac lepas.

Komponen itu merupakan sebahagian daripada 1,090 kilometer jajaran Pan Borneo yang dinaik taraf kepada empat lorong dua hala dengan standard piawaian R5 dan kerja-kerja menaik taraf komponen tersebut kini sedang giat dijalankan.

Lebuhraya Pan Borneo merupakan projek mega berskala besar dengan komitmen kewangan tinggi di pihak kerajaan, justeru beberapa opsyen model pelaksanaan telah dikaji semasa memutakmadkan projek terbabit.

“Sehubungan itu, mengambil kira implikasi model pelaksanaan terhadap kewangan jangka panjang negara, kerajaan memutuskan supaya pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dilaksanakan melalui kaedah ‘Project Delivery Partner’ (PDP) yang mana pembiayaan projek akan dibuat sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan melalui Dana Infra.

“Model yang serupa digunakan dalam pelaksanaan projek Mass Rapit Transit (MRT). Pendekatan ini dipilih antara lain kerana lebih menjimat dan mengurangkan kos pembiayaan kerajaan,” katanya.

Pihak PDP akan bertindak sebagai ‘single point of accountability’ yang bertanggungjawab dalam melaksana, mengurus dan menyiapkan pembangunan lebuh raya sepanjang 1,090 kilometer pada kadar kos berpatutan dan tempoh pembinaan yang dipersetujui kerajaan.

Sebagai balasan, PDP akan menerima bayaran yuran PDP berdasarkan pencapaian ‘Key Performance Indicator’ (KPI) yang telah dipersetujui.

Menurut kementerian lagi, sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan dianggotai oleh agensi-agensi lain seperti Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah dibentuk.

Jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab memantau, menyelaras dan menyelesaikan sebarang isu yang mungkin timbul dalam pelaksanaan projek terbabit.

Selain itu, jawatankuasa juga akan bertanggungjawab memastikan bahawa penglibatan penduduk Sarawak dapat dimaksimumkan dalam projek berkenaan.

“Adalah diharapkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak kelak akan menjadi jalan penghubung strategik serta memberi keselesaan perjalanan dan selamat kepada pengguna jalan raya di Sarawak.

“Projek juga disasar akan memberi impak bukan sahaja kepada ekonomi setempat, malah ia berupaya menggalakkan lagi pembangunan ekonomi di wilayah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dengan adanya akses serta rangkaian jalan raya yang lebih efisien,” tambahnya.

Projek juga dijangka akan memberi kesan langsung kepada penduduk Sarawk melalui peluang dalam sektor pembinaan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan bertindak sebagai pemangkin kepada pusat-pusat pertumbuhan baharu ekonomi.