Pembuang sampah di JB diawasi individu bercermin mata hitam

0

JOHOR BAHARU: Mereka yang mahu membuang sampah sesuka hati di bandar raya ini mulai hari ini perlu terlebih dahulu mengawasi indvidu yang bercermin mata hitam di sekeliling mereka.

Ini kerana individu sedemikan kemungkinan besar merupakan anggota Unit Pencegahan Kekotoran (UPK) Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) yang mampu mengesan pembuang sampah menerusi cemin mata pengintip ‘spy sunglass camera’ yang dipakai mereka.

Datuk Bandar Johor Baharu, Datuk Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata peranti itu yang berdefinisi tinggi mampu merakam visual dan audio selama lapan jam.

“Setakat ini MBJB mempunyai enam alat itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan UPK di sini semalam.

Beliau berkata enam orang anggota UPK akan berpakaian biasa dan memakai alat itu semasa melakukan penyamaran.

“Orang awam yang tertangkap membuang sampah akan dibawa ke kaunter bergerak bagi melihat kembali video kesalahan yang telah dirakam oleh pihah UPK sebelum mereka diminta menjelaskan kompaun.

“Pesalah akan dikenakan kompaun dengan kadar RM20 bagi pelajar, RM50 bagi orang dewasa dan pelancong.

“Pesalah yang gagal menjelaskan kompaun akan dikenakan tindakan mahkamah manakala pelajar sekolah atau pengajian tinggi akan diminta untuk menghadiri program Kesedaran GAS (Generasi Anti Sampah),” kata beliau.

Abdul Rahman berkata sasaran utama pemantauan di bawah ‘Zon Penguatkuasa Anti-Litter’ itu termasuk kawasan siar kaki City Square, JB Bazar, Bazar Karat, JB Sentral dan Larkin Central.

Beliau berkata MBJB akan turut mengedar surat pemberitahuan pelaksanaan program antisampah di pejabat kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi, pusat beli-belah dan premis gedung perniagaan.

“Kami berharap dengan adanya unit dan peralatan baru ini, ia dapat membantu mengekang perbuatan membuang sampah dan sekali gus melahirkan lebih ramai masyarakat maju yang menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup mereka,” katanya.

Sementara itu beliau menolak dakwaan Ahli Dewan Undangan Pengkalan Rinting, Cheo Yee How bahawa kawasan pelancongan warisan dalam bandar raya Johor Baharu dibelenggu masalah sampah serta memberi ancaman keselamatan kepada pengunjung. — Bernama

Beliau berkata dakwaan tersebut tidak benar kerana pihak MBJB sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam memantau kebersihan dan keadaan semasa di kawasan tersebut.

“MBJB dan polis sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan itu bagi memastikan keselesaan para pengunjung di samping membasmi aktiviti yang tidak sihat,” kata beliau.

Cheo dilaporkan sebagai berkata pihak berkuasa perlu mengkaji semula perancangan Bazar Karat dalam usaha untuk menyelesaikan masalah kebersihan, keselamatan serta tempat letak kereta di sekeliling pusat Bandaraya Johor Baharu kerana ia adalah kawasan tarikan pelancong. — Bernama