Tiada bukti ada strain denggi yang berbeza

0

KUALA LUMPUR: Kajian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati tiada bukti mengenai kewujudan strain denggi yang berlainan walaupun terdapat laporan pesakit mempamerkan simptom yang berbeza.

Bagaimanapun kajian menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti simptom ditunjukkan dalam kalangan pesakit yang terdedah kepada penyakit itu yang semakin meningkat masa ini, kata Pengarah IMR Dr Jasbir Singh Dhaliwal.

“Selain daripada penyelidikan virus denggi, banyak penyelidikan terhadap kawalan vektor denggi telah dijalankan di IMR.

Pada masa ini, tiada rawatan yang khusus dan vaksin terhadap denggi masih dalam penilaian. Maka kaedah membanteras denggi ditumpukan kepada kawalan vektor iaitu ‘Aedes aegypti’ dan ‘Ae albopictus’,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam bahawa negara mungkin menghadapi wabak denggi terbesar pernah berlaku dengan lebih 40,000 kes dan 157 kematian dilaporkan sejak Januari tahun ini.

Dr Subramaniam dipetik berkata banyak kes baharu yang dilaporkan tahun ini ialah jenis denggi yang belum pernah berlaku sebelum ini selain tingkah laku virus berbeza sekarang.

Sehubungan itu, Dr Jasbir berkata kaedah dan konsep kawalan vektor denggi yang inovatif sedang dibangunkan termasuk mewujudkan racun nyamuk yang boleh meresap di dinding luar rumah.

“Racun serangga ini akan melekat di permukaan yang telah disembur dan ini akan membunuh nyamuk dewasa apabila nyamuk hinggap di permukaan tersebut. Penilaian awal di lapangan secara besar-besaran menunjukkan kejayaan,” katanya.

Beliau berkata racun berkenaan yang dinamakan ‘Deltamethrin’ telah dirumuskan di dalam cat dan kini dalam proses untuk memperolehi kelulusan dari pihak berkuasa bagi mengawal selia racun serangga sebagai rawatan mengecat dalam rumah.

Katanya inovasi lain melibatkan kebolehan ramalan wabak denggi dipertingkatkan dengan membangunkan model matematik berdasarkan data alam sekitar dan analisis menggunakan rangkaian neural.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Ashok Zachariah Philip berkata virus denggi dewasa kini sudah bermutasi pada jenis baharu.

‘Mutasi’ ini adalah proses biasa – setiap satu atau dua tahun, jenis virus denggi akan berubah, tetapi kali ini virus adalah lebih ganas dan parah kesannya pada pesakit,” katanya.

Beliau berharap Kementerian Kesihatan akan terus membantu pengamal perubatan swasta mendapat ‘alat ujian’ untuk denggi pada harga yang rendah agar mereka boleh méngesan penyakit pada peringkat awal.

“Kerajaan memang ada pengalaman dalam proses mengatasi wabak denggi dan orang ramai seharusnya membersihkan kawasan persekitaran untuk mengurangkan risiko tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya. — Bernama