Jurujual lapor motosikal hilang dicuri di rumah kenalannya

0
HILANG: Motosikal pengadu yang didapati hilang di rumah sewa kenalannya.

HILANG: Motosikal pengadu yang didapati hilang di rumah sewa kenalannya.

SIBU: Seorang jurujual penapis air membuat laporan polis selepas motosikal jenis Honda Revo miliknya didapati hilang di dalam rumah sewa di Jalan Oya semasa dia menjalankan tugas di luar kawasan di Kapit.

Dalam kejadian pada jam 7 pagi 6 Jun lalu, pengadu telah meninggalkan motosikalnya di dalam rumah sewa seorang kenalannya sebelum pergi ke Kapit.

Pengadu yang berusia 21 tahun, berasal dari Ng Bawan, Kanowit hanya dimaklumkan oleh isteri kenalannya mengenai kehilangan motosikalnya pada 28 Jun lalu.

Pengadu yang masih berada di Kapit ketika itu terpaksa pulang ke Sibu untuk membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu.

Turut dilaporkan hilang termasuk dua set penapis air terpakai dan sebuah dapur gas.

Menurut pengadu, motosikalnya hilang ketika tiada orang berada di rumah berkenaan memandangkan kenalan serta isterinya berada di Dalat semasa kejadian.

Motosikal tersebut dibelinya secara bayaran ansuran dan baharu dibeli awal tahun lepas.

Sementara itu dalam kes yang berlainan, seorang remaja lelaki dipercayai menjadi mangsa penipuan selepas membeli komponen permainan komputer (game) melalui media sosial Facebook baru-baru ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, pengadu yang berusia 18 tahuntelah berurusan dengan seorang rakan media sosial berkenaan, dipercayai lelaki yang mengguna nama samaran mengenai hasratnya untuk membeli komponen permainan komputer berkenaan.

Menurut pengadu dia telah membuat pembayaran tunai secara online dan memasukkan sebanyak RM145 ke dalam akaun bank diberi lelaki tersebut.

Pada jam 11 pagi keesokannya, pengadu terkejut apabila tidak dapat berhubung dengan lelaki terbabit melalui laman sosial berkenaan selepas namanya sudah disekat oleh lelaki berkenaan.

Setelah berkali-kali cuba memasuki laman yang sama, pengadu akhirnya bertindak membuat laporan polis selepas menyedari dia telah ditipu lelaki berkenaan.