Majikan lapor polis dua pekerja curi cat

0
AKHIRNYA: Dua suspek (dua orang dari kanan) yang diberkas dibawa masuk ke Balai Polis Sentral Sibu kelmarin.

AKHIRNYA: Dua suspek (dua orang dari kanan) yang diberkas dibawa masuk ke Balai Polis Sentral Sibu kelmarin.

SIBU: Tindakan dua pekerja sebuah kedai perkakasan di Jalan Pedada dekat sini mencuri dua tin cat kelmarin tidak dapat dimaafkan majikannya walaupun suspek sudah bekerja di situ sejak 18 tahun.

Insiden itu berlaku pada jam 12.45 petang kelmarin apabila suspek utama yang berusia 43 tahun, berbangsa Melayu dan seorang pekerja berumur 18 tahun disyaki bersubahat cuba menyeludup keluar dua tin cat berkenaan dari premis kedai.

Menurut laporan, suspek utama dikatakan menyuruh rakan berbangsa Cina terbabit mencampurkan cat sebelum menyimpan dua tin cat itu di dalam kereta suspek.

Bagaimanapun, pemilik kedai yang telah menyedari taktik dua pekerjanya kemudian memanggil kedua-duanya ke pejabat.

Difahamkan, tauke tersebut sudah hilang sabar dan mengesyaki suspek dan remaja lelaki terbabit bersubahat mencuri dua tin cat itu.

Walaupun suspek utama menafikan dakwaan itu dan cuba menjelaskan dengan memberitahu pekerja remaja terbabit membawa dua tin cat ke pejabat di tingkat atas sebelum dia membuka bil.

Sebaliknya, remaja tersebut terus me-nyimpan tin cat tersebut di dalam kereta dan tanpa disedari, tauke kedai telah memerhatikan gelagat mencurigakan mereka.

Apapun penjelasan mereka, tauke kedai tersebut terus bertindak menghubungi polis yang kemudian mengerahkan sepasukan polis datang menangkap kedua-dua suspek.

Pagi semalam, adik perempuan suspek utama dikatakan berjumpa dengan tauke untuk meminta belas kasihan namun pemilik kedai perkakas itu tetap dengan pendiriannya.

Pengadu tetap tidak akan mengubah dakwaannya walaupun ahli keluarga suspek utama sanggup membayar lebih 10 kali ganda nilai dua tin cat.

Difahamkan juga pemilik kedai perkakas berkenaan sering mengalami kehilangan barang beberapa tahun kebelakangan ini tanpa sebab tetapi kini puncanya sudah ter-ungkai.

Dua suspek terbabit kini ditahan reman tiga hari bermula semalam untuk membantu siasatan polis.