Pedal klac tertusuk di kaki pemandu

0
NGERI: Mangsa semasa tiba di HUS untuk mendapatkan rawatan. Turut kelihatan pedal klac yang masih melekat di kaki kiri mangsa.

NGERI: Mangsa semasa tiba di HUS untuk mendapatkan rawatan. Turut kelihatan pedal klac yang masih melekat di kaki kiri mangsa.

KUCHING: Anggota bomba dan penyelamat terpaksa memotong pedal klac sebuah kereta yang tertusuk di kaki pemandunya dalam satu kemalangan jalan raya di Batu 18 Jalan Kuching-Serian semalam.

Difahamkan, mangsa yang berusia 27 tahun itu terperangkap hampir sejam sebelum berjaya dikeluarkan dengan separuh daripada pedal klac tersebut masih melekat di kaki mangsa.

Mangsa yang turut mengalami kecederaan di beberapa anggota badannya itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh anggota EMRS Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Sukar untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam keretanya ketika itu, sehingga pihak bomba terpaksa memotong pedal klac yang tertusuk di kaki kiri mangsa.

“Mangsa yang masih sedar, dengan keadaan pedal klac tersebut masih melekat di kakinya telah dikejarkan ke Unit Kecemasan HUS untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber.

Menurut sumber, mangsa semasa kejadian dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Serian apabila kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas lalu merempuh besi penghadang sebuah jambatan iaitu sekitar jam 12.15 tengah hari.

Impak daripada rempuhan tersebut menyebabkan bahagian hadapan kereta mangsa remuk sehingga dia tersepit dan kakinya tertusuk pedal klac.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di HUS.