Petronas sumbang RM90 juta kepada Sarawak

1

Ia bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat di Sarawak untuk tahun 2015

Oleh Jessica Jawing //

UNTUK SARAWAK: Adenan menerima replika cek daripada Sidek (tiga kiri) sebagai simbolik pengagihan sumbangan berjumlah RM90 juta bagi melaksanakan program CSR di Sarawak untuk tahun ini. Turut kelihatan Jabu (kanan), Asfia (dua kiri) dan Morshidi (kiri).

UNTUK SARAWAK: Adenan menerima replika cek daripada Sidek (tiga kiri) sebagai simbolik pengagihan sumbangan berjumlah RM90 juta bagi melaksanakan program CSR di Sarawak untuk tahun ini. Turut kelihatan Jabu (kanan), Asfia (dua kiri) dan Morshidi (kiri).

KUCHING: Petronas mengumumkan sumbangan berjumlah RM90 juta bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sarawak untuk tahun 2015.

Agihan berkenaan merupakan permulaan bagi inisiatif CSR dalam tempoh lima tahun (2015-2019) yang akan dilaksanakan di Sarawak dalam memperkasakan pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat serta pemuliharaan alam sekitar.

Penyerahan itu disampaikan Pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

“Petronas merupakan warga korporat yang bertanggungjawab dan bermurah hati malah ada kalanya menyelamatkan ekonomi ketika kita menghadapi masalah ekonomi tertentu.

“Sudah tentu kita mahu mereka lebih bermurah hati berbanding sekarang namun kita menerima apa yang kita dapat sekarang pada masa yang sama meminta lebih banyak dalam masa terdekat,” kata Adenan pada sidang media selepas majlis penyerahan di sini.

Mengenai projek CSR tempoh lima tahun akan datang, Adenan percaya Petronas menyumbang jumlah besar kepada Sarawak namun menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkan perkara berkenaan.

Beliau sekali lagi menegaskan pendirian bahawa kerajaan negeri pada masa yang sama akan terus berusaha memastikan kerajaan pusat menambah bayaran royalti minyak dan gas kepada 20 peratus bagi Sarawak berbanding lima peratus sedia ada.

“Perkara ini akan kita teruskan dari semasa ke semasa, bukan kepada Petronas sahaja tetapi kepada kerajaan pusat, kerana mereka yang membuat keputusan,” tegasnya.

Sementara itu Sidek berkata, antara lain pelaburan RM90 juta juga melibatkan program perlindungan koridor marin di Bintulu dan Miri, penubuhan Petrosains Playsmart Center, program latihan tindakan kecemasan bencana di peringkat komuniti serta sumbangan kepada pertubuhan bukan kerajaan di Sarawak.

Jelas beliau, Petronas berharap kerjasama antara mereka dan kerajaan negeri akan dapat terus ditingkatkan dalam usaha sama membangunkan industri minyak dan gas tempatan yang mapan dan kompetitif ke arah kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Sarawak.

“Kami mahu menjadi warga korporat yang baik, bukan kerana ada sebab tersembunyi tetapi kerana ia bagus bagi perniagaan kami.

“Tambahan Petronas wujud untuk membantu negara termasuk Sarawak dan kami akan terus berbuat demikian.

“Kami bersyukur atas sokongan Ketua Menteri dan Petronas mahu dilihat sebagai warga korporat yang baik pada masa lalu, sekarang dan lebih-lebih lagi pada masa depan,” kata beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, Sidek berkata bagi pelaburan lima tahun berkenaan Petronas juga akan menyalurkan kepada pembinaan sebuah Maktab Rendah Sains MARA di Bintulu dan asrama-asrama desa.

Selain itu, Petronas bekerjasama dengan Yayasan AMIR melalui penajaan lima Sekolah Amanah di daerah Lundu dan akan meningkatkan Sekolah Amanah di Sarawak daripada tujuh kepada 12 sekolah.

Majlis itu semalam turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.