Sengaja dibakar

0

Tapak pelupusan sampah MDB di Jalan Skiat Lama, Bau terbakar angkara perbuatan khianat

Oleh Nick Fletcher //

PADAMKAN: Anggota-anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bau memadamkan kebakaran akibat perbuatan khianat individu yang sengaja membakar sampah di tapak pelupusan sampah Majlis Daerah Bau di Jalan Skiat Lama, Bau dekat Kuching.

PADAMKAN: Anggota-anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bau memadamkan kebakaran akibat perbuatan khianat individu yang sengaja membakar sampah di tapak pelupusan sampah Majlis Daerah Bau di Jalan Skiat Lama, Bau dekat Kuching.

KUCHING: Seluas 1.5 ekar tapak pelupusan sampah Majlis Daerah Bau (MDB) di Jalan Skiat Lama, Bau dekat sini terbakar angkara perbuatan khianat individu yang dengan sengaja membakar sampah di situ.

Malah, amat dikesali apabila tindakan tidak bertanggungjawab itu didapati sudah dilakukan tiga kali berturut-turut dalam tempoh sebulan ini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau Ebby Hirwandy Sarbini, perbuatan itu telah dilakukan pada sekitar jam 10 malam kelmarin apabila ada saksi yang melihat kelibat pelaku melarikan diri setelah membakar tempat tersebut.

“Punca kebakaran adalah ia sengaja dibakar apabila ada saksi mengatakan ternampak orang lari setelah membakar tempat tersebut.

“Ini juga merupakan kes ketiga dalam masa sebulan di tapak pelupusan sampah tersebut dan ia adalah serupa iaitu sengaja dibakar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan selepas dibakar, api pada awalnya hanya kecil namun mula marak dan merebak pada sekitar pagi semalam.

Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Kampung Skiat Lama Mitod Bojeng juga ketika dihubungi, semalam dengan memberitahu kebakaran mula berlaku pada malam kelmarin.

“Kebakaran ini dari kelmarin dan api dilihat semakin merebak semalam… mujur bomba pantas memadamkannya,” katanya.

Ebby yang turut datang ke lokasi kebakaran tersebut menjelaskan bahawa pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8.02 pagi dan berjaya memadamkan api pada jam 10.35 pagi.

Katanya jarak dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau ke lokasi kebakaran adalah sejauh lima kilometer.

“Bomba Bau dengan 10 anggota yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Tiwi Nios bergegas ke lokasi menggunakan jentera Scania dan tiba pada jam 8.11 pagi.

“Kebakaran melibatkan sampah yang dikumpulkan dan berkeluasan 1.5 ekar,” katanya sambil menambah tiada mangsa dalam kejadian tersebut.

Justeru bagi mengelak perbuatan khianat seperti itu berulang, Ebby berkata  perbincangan telah dibuat antara pihak bomba Bau dengan MDB dan kontraktor telah dimaklumkan untuk mengambil tindakan perlu seperti mengawasi dan memastikan tidak berlaku lagi perkara seumpama itu.

Baru-baru ini, tapak pelupusan sampah MDB di Jalan Skiat Lama telah menarik perhatian apabila ia dikatakan sudah mencapai jangka hayat maksimum selama lima tahun dan mengundang bahaya dari segi keselamatan kepada penduduk Kampung Skiat Lama.

Mitod turut dilaporkan berkata tapak pelupusan sampah tersebut telah mencapai kapasiti maksimum sehingga menyebabkan sisa pepejal dan air melimpah ke jalan utama dan menghalang lalu lintas.

Menurutnya, beberapa aduan juga sudah dikemukakan kepada MBD sejak tiga tahun lalu namun tiada apa-apa tindakan penyelesaian dilakukan.