Turun naik harga petrol ikut gerakan pasaran

2

KUCHING: Penurunan dan kenaikan harga petrol di negara ini ditetapkan mengikut gerakan pasaran semasa, kata Pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan.

Menurut beliau, dalam hal berkenaan kerajaan yang akan membuat keputusan namun Petronas hanya memainkan peranan dari segi pengeluaran minyak sahaja.

“Itu adalah untuk kerajaan yang tentukan. Petronas hanya keluarkan minyak sahaja.

“Kerajaan telah membuat keputusan untuk meletakkan harga di pam mengikut gerakan pasaran yang mana apabila pasaran naik sedikit, minyak akan naik sedikit, begitu juga apabila pasaran turun minyak akan turun…itu adalah prosesnya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Sarawak yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di sini, semalam.

Ditanya sama ada kenaikan akan berlaku seterusnya, Sidek berkata ia bergantung kepada pergerakan dalam pasaran dan ia tidak dapat dikawal.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan harga runcit petrol RON95 naik 10 sen berkuat kuasa pada 1 Julai 2015 (semalam).

Sementara itu, sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, perubahan harga minyak akan menjadi rutin memandangkan harga minyak dijangka sentiasa berubah setelah kerajaan melaksanakan penetapan harga runcit untuk petrol RON95, RON97 dan diesel mengikut kaedah Pengapungan Terkawal mulai 1 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, dalam laporan blog menyatakan ramai kalangan penganalisis politik menyatakan keraguan kenaikan harga petrol RON95 seliter apabila harga semasa minyak mentah global turun sedikit berbanding bulan sebelumnya.

Sebagai petunjuk bagi sejauh mana harga minyak global sudah menurun, Reuters semalam melaporkan bahawa jualan rasmi bagi setong minyak mentah Malaysia bagi muatan Jun telah dikira pada harga AS$66.89 (RM251.90) setong, turun sebanyak AS$2.48 daripada bulan sebelumnya.

Kerajaan belum lagi mendedahkan bagaimana sebenarnya formula apungan harga pasaran bulanan yang diguna pakai bagi harga pam bahan bakar dikira, tetapi laporan sebelum ini membayangkan sebahagiannya diambil daripada harga yang ditetapkan oleh Petronas secara bulanan.

Petronas memperkenalkan penanda aras baharu bermula Januari 2014, berdasarkan ‘spot differentials’ kepada Brent bertarikh bagi tiga gred – Labuan, Miri dan Kikeh.