Cedera dibelasah lelaki disyaki curi telefon rakan

0
CEDERA: Mangsa semasa menunggu rawatan di HUS.

CEDERA: Mangsa semasa menunggu rawatan di HUS.

KUCHING: Padah bertindak berani menyebabkan seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera di kepala selepas dia dibelasah lelaki yang didakwanya mencuri telefon bimbit rakannya, semalam.

Menurut sumber, insiden berlaku apabila mangsa menyedari kehilangan telefon bimbit rakannya semasa bertugas di kaunter pejabatnya dan hasil pemeriksaan rakaman CCTV berjaya mengenal pasti lelaki yang mencuri telefon bimbit tersebut.

Tanpa membuat laporan polis, mangsa dikatakan bertindak mencari lelaki terbabit dan berjaya menemuinya di sebuah rumah di Taman Sukma, Petra Jaya malam kelmarin.

Difahamkan, lelaki terbabit kemudian menyerahkan semula telefon bimbit tersebut, namun berlaku pertengkaran di antara mereka sehingga suspek bertindak membelasah mangsa menyebabkan kecederaan di kepalanya.

Mangsa yang cedera kemudian beredar dari rumah suspek dan terus ke balai polis berhampiran melaporkan mengenai kejadian berkenaan.

“Ekoran kecederaan yang dialaminya, dia kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata sumber.

Pihak polis dilaporkan masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.