Kutipan derma warga asing diragui, polis diminta bertindak

0
RAYU: Kelihatan seorang lelaki warga asing yang mendakwa mewakili badan amal dari Filipina memujuk orang awam untuk menghulur derma.

RAYU: Kelihatan seorang lelaki warga asing yang mendakwa mewakili badan amal dari Filipina memujuk orang awam untuk menghulur derma.

MIRI: Penduduk di sini memohon pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap beberapa kumpulan warga asing yang mendakwa mengutip derma bagi membantu golongan miskin serta  anak yatim di negara asal mereka.

Kumpulan ini terdiri daripada lelaki dan perempuan dewasa, bergerak secara berasingan mengutip derma orang awam sekitar bandar raya ini.

Mereka menyasar tempat tumpuan awam seperti kedai makan, restoran, kompleks beli-belah, pasar raya malah berkeliaran di lobi Lapangan Terbang Miri di sini.

Mereka terdiri daripada beberapa kumpulan berbeza mendakwa mewakili pertubuhan amal dan badan bukan kerajaan (NGO) negara asal untuk mengutip derma bagi golongan kurang bernasib baik termasuk anak yatim dinaungi pertubuhan negara mereka.

Sejauh mana kebenaran itu, sukar untuk disahkan kerana ada  pengutip derma menunjuk bukti pertubuhan malah derma dikutip ditulis dalam buku kutipan, lengkap dengan nama dan tandatangan penderma.

“Tetapi ada yang mengutip derma dengan ‘mencatatkan’ derma diberi dalam buku kecil ‘tiga lima’ (555). Bolehkah ini dipercayai?” kata seorang pelanggan restoran makanan segera KFC di Emart di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian sama, semasa waktu berbuka puasa, beberapa pelanggan di restoran itu didatangi seorang lelaki dengan loghat ‘Filipina’ mendakwa dirinya mewakili sebuah badan amal negaranya datang mengutip derma.

“Bukan seorang tetapi ramai pelanggan dihampiri, ada yang prihatin menghulur derma. Namun tidak kurang juga menolak, termasuk saya,” kata pelanggan yang enggan dirinya didedahkan.

Seorang lagi pelanggan, Mohamad Saruji Zaidin, beliau meragui pengutip derma itu kerana tidak menunjuk lesen atau premit sah Pejabat Daerah atau Pejabat Residen.

“Mereka mendakwa wang diderma disalur ke pusat anak-anak yatim dinaungi badan amal atau pertubuhan diwakili mereka. Tetapi tidak menyata dengan jelas di mana tempat pusat berkenaan.

“Walaupun tanpa premit sah atau apa yang meyakinkan, namun saya nampak ramai menghulur derma malah ada dengan ikhlas memberi RM10. Saya berharap wang diderma sampai kepada sasaran.

“Saya bimbang jika sebaliknya pula berlaku dan pengutip derma menipu untuk kegunaan sendiri,” katanya lagi sambil mengingat penduduk supaya berwaspada agar tidak tertipu.

Kejadian di Emart bukan perkara baharu, malah ia salah satu lokasi kegemaran pengutip derma warga asing kerana tempat ini menjadi tumpuan ramai.

Sebelum ini, Utusan Borneo pernah melapor isu pengutip derma yang sama, namun kumpulan ini terdiri daripada seorang hingga tiga wanita.

Kumpulan ini menyasar kedai makan dan restoran terbuka untuk melakukan modus operandi mereka.

Sementara itu Lapangan Terbang Miri pula, mereka bergerak secara individu, mendekati sasaran sambil membawa buku nota (untuk mencatat nama penderma dan jumlah yang didermakan) dan pen.

Pada masa yang sama, mereka meminta derma dengan cara cukup profesional hingga sukar dibeza sama ada mereka sindiket penipuan atau sebaliknya.

“Mereka merayu sehingga kita sanggup mengeluar wang menderma. Dia cuba menghampiri seramai mungkin untuk meminta derma, tidak kira penduduk tempatan atau pelawat dari luar,” kata seorang lagi penduduk Miri, Adhwa Zhfri, yang mengakui kerap menggunakan penerbangan untuk urusan kerja.

Jelasnya, perlu bagi pihak berkuasa memantau aktiviti itu kerana bimbang ia sindiket penipuan untuk mengutip wang.

Tinjauan Utusan Borneo mendapati sindiket ini kerap bertukar-tukar lokasi bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa dan ada kalanya mereka lesap seketika apabila pihak berkuasa kerap melakukan rondaan, namun ada ketika mereka muncul semula.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah (KPD) Miri, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit semalam berkata orang ramai yang mahu menderma perlu memasti terlebih dahulu sama ada kumpulan pelawat asing ini memiliki permit sah daripada Pejabat Residen untuk membolehkan mereka berbuat demikian atau sebaliknya.

Sehubungan itu beliau menggesa orang awam tidak sembarangan menghulur derma kepada golongan terbabit (yang tiada permit sah) kerana mereka menipu.

“Jangan mudah terpengaruh dengan kata manis dan pujukan supaya menderma wang anda. Sebaliknya periksa dahulu untuk mengelak ditipu,” jelasnya, ketika dihubungi bagi mendapatkan komen berhubung isu tersebut.

Stanley berkata pihak polis akan terus memantau pergerakan kumpulan berkenaan dan jika mendapati mereka menipu orang awam, maka mereka akan ditahan dan seterusnya dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.