Lelaki ditahan, bawa parang dalam kereta

0
SIASAT:Suspek dibawa ke Pusat Sehenti IPD Kuching untuk diambil keterangan.

SIASAT:Suspek dibawa ke Pusat Sehenti IPD Kuching untuk diambil keterangan.

BAHAYA: Anggota polis membawa parang panjang tersebut ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

BAHAYA: Anggota polis membawa parang panjang tersebut ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Gara-gara membawa parang di dalam kereta, seorang lelaki ditahan polis untuk siasatan semalam.

Suspek berusia 32 tahun berasal dari Kota Samarahan itu semasa ditahan dikatakan memandu sebuah kereta jenis Perodua Kancil di Jalan Semariang sekitar jam 8.30 pagi.

Difahamkan, suspek pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan menyebabkan anggota dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) yang melakukan rondaan cegah jenayah menahannya untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah parang panjang yang disembunyikan di bahagian bawah tempat duduk belakang kereta tersebut,” kata sumber.

Suspek kemudian ditahan dan kereta serta parang tersebut juga dirampas untuk siasatan lanjut.

Sementara dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan selepas didapati menjual mercun di tepi Jalan Brooke berdekatan Kampung Semarang di sini, kelmarin.

Menurut sumber, suspek yang juga berasal dari kampung tersebut semasa ditahan duduk seorang diri di gerai berkenaan sekitar jam 9.30 malam.

“Turut ditemui di gerai tersebut ialah beberapa jenis mercun dan bunga api serta wang tunai dipercayai hasil jualan bahan terlarang tersebut,” kata sumber.

Suspek kemudian dibawa ke rumahnya dan hasil pemeriksaan telah menemui beberapa kotak lagi mercun serta bungi api yang disembunyikan di ruang tamu rumahnya.

Kesemua mercun dan bunga api tersebut juga dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957.