RM2.58 juta diberi kepada mangsa bencana

0

Ia jumlah bantuan JKM kepada hampir 17,000 keluarga mangsa dari Januari hinga Mei 2015

Oleh Jessica Jawing //

JASA SENTIASA DIHARGAI: JBPM Sarawak terima 500 bungkusan kuih raya untuk diagih kepada anggota seluruh negeri.

JASA SENTIASA DIHARGAI: JBPM Sarawak terima 500 bungkusan kuih raya untuk diagih kepada anggota seluruh negeri.

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghulurkan bantuan bencana yang dianggarkan berjumlah RM2.58 juta kepada hampir 17,000 keluarga mangsa dari Januari hinga Mei 2015.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata bantuan itu meliputi semua bahagian di negeri ini yang melibatkan bencana kebakaran, tanah runtuh, ribut, banjir dan kemarau.

Daripada jumlah itu bencana banjir antara yang mencatatkan perbelanjaan paling tinggi dengan RM1.89 juta yang membabitkan 94 kes dengan 13,510 keluarga sementara bantuan bencana kebakaran, jabatan membelanjakan RM261,504 yang melibatkan 41 kes dan 114 keluarga.

Bagi bencana tanah runtuh sebanyak RM119,149.85 disalurkan bagi 16 kes dengan 66 keluarga, bencana ribut sebanyak RM13,510 dibelanjakan dengan 20 kes melibatkan 34 keluarga dan bencana kemarau pula, sebanyak RM290,698 dengan 64 kes melibatkan 3,229 keluarga.

“Ini merupakan bantuan segera dan juga bantuan lain yang kita salurkan kepada semua mangsa di semua bahagian setakat Mei tahun ini.

“Namun semua bantuan dan statistik yang kita dapat adalah hasil daripada maklumat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, yang merupakan rakan strategik kita melalui Info Blast.

“Bagi kami (kementerian) juga memerlukan segera maklumat berkaitan bencana untuk memudahkan kami turun padang seterusnya menjalankan siasatan dan memberi bantuan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kuih Raya kepada anggota keselamatan iaitu JBPM Sarawak yang dihadiri Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohammad di ibu pejabat JBPM Sarawak di sini, semalam.

Menurut Fatimah, melalui kerjasama erat bersama bomba, kementerian dapat menyampaikan bantuan segera dan berharap ia berterusan sama ada secara formal atau tidak formal.

SIMBOLIK:Fatimah menyampaikan bungkusan kuih raya kepada Nor Hisham (kanan) sebagai simbolik sumbangan kuih raya kepada JBPM Sarawak sambil disaksikan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad (kiri).

SIMBOLIK:Fatimah menyampaikan bungkusan kuih raya kepada Nor Hisham (kanan) sebagai simbolik sumbangan kuih raya kepada JBPM Sarawak sambil disaksikan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad (kiri).

Beliau pada masa yang sama memberitahu, kementerian mungkin akan mencadangkan untuk menambah peruntukan bagi program sumbangan raya kepada anggota keselamatan dan badan beruniform.

Katanya ia melihat kepada pengorbanan anggota keselamatan pada musim perayaan yang ramai tidak bercuti demi tugas dan tanggungjawab mereka sama ada dari segi keselamatan atau bencana.

Pada tahun ini, kementerian menyediakan sebanyak 6,000 bungkusan kuih raya diagihkan kepada tujuh agensi penerima terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, Jabatan Penjara Sarawak, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Sementara JPBM Sarawak semalam menerima 500 bungkusan kuih raya yang akan diagihkan kepada anggotanya.

Nor Hisham dalam ucapannya berkata, sumbangan kuih raya itu akan diagihkan kepada semua anggota di seluruh negeri termasuk kepada anggota Bomba Sukarela.

“Kami amat menghargai sumbangan ini dan berusaha untuk mengagihkan kepada semua agggota kami di seluruh bahagian dan juga kepada anggota Bomba Sukarela kami,” katanya.

Sebanyak enam jenis kuih dan biskut disediakan seperti serunding daging, biskut rock, popia udang kering, maruku, kek hati pari dan kacang Cornflakes yang mana penyediaannya melibatkan 15 pertubuhan wanita.