RTC sekali lagi cemerlang pada kejohanan taekwondo Sarawak

0

SIBU: Kelab Taekwando Rejang (RTC) menunjukkan prestasi cemerlang sekali lagi apabila memperolehi tujuh pingat emas, lima perak dan enam gangsa pada Kejohanan Taekwando Sarawak Ke-4 di Bintulu, baru-baru ini.

“Berbanding keputusan tahun lepas, pencapaian tahun ini adalah lebih baik. Tahun lepas kita hanya mendapat enam emas, tiga perak dan empat gangsa,” ujar pengurus pasukan RTC, Albert Wong.

Pingat emas disumbangkan oleh atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2014, Tie Ton Siong, selain Tie Sing Da dari SMK Chung Cheng, Annie Lau Yih Jiun (SMK Methodist), Jacky Ting Poh Chuang (SMK Lanang), Alysa Law (SJKC Thai Kwang), Lucas Wong (SMK Sacred Hart) dan Joyce Hii Ian Chyn.

Lima pingat perak pula disumbangkan oleh Tiffany Yew, Erica Yew, Sydney Yew, Nur Syakirim dan Wong Lie Ho, manakala pingat gangsa disumbangkan oleh Bennie Tie, Simon Tang, Law Yih Heng, Mohd Affendy, Oscar Hii dan Leslie Chin.

Kejohanan tahunan ini dianjurkan oleh Kelab Taekwando Smart Bintulu serta disertai 450 peserta dari 19 kelab yang bernaung di bawah Persatuan Taekwando Sarawak (STA).

Menurut Wong, kejohanan juga menjadi pentas bagi memilih peserta yang berpotensi untuk menyertai SUKMA 2016 di Sarawak tahun depan.

“Peserta yang menunjukkan prestasi baik juga akan dipilih menyertai Kejohanan Taekwando Ketua Menteri Piala Borneo Ketiga di Kuching dari 21 hingga 23 Ogos.

“Kita akan menghantar sebuah pasukan yang kuat bagi memberikan saingan pada kejohanan itu nanti,” jelas beliau.

Beberapa peserta terpilih telah menjalani latihan intensif di gim RTC di Jalan Wong King Huo bagi tujuan tersebut.