Rupanya bapa sendiri

3

DNA rungkai kes rogol budak perempuan, suspek terdahulu didapati negatif

Oleh Michael Ubam //

LOKASI: Kejadian itu dipercayai berlaku di rumah ini.(Gambar Kiri) SUSPEK SEBENAR: Bapa mangsa dicekup oleh polis di kediamannya di Sungai Durin tengah hari semalam. (Gambar Kanan)

LOKASI: Kejadian itu dipercayai berlaku di rumah ini.(Gambar Kiri)
SUSPEK SEBENAR: Bapa mangsa dicekup oleh polis di kediamannya di Sungai Durin tengah hari semalam. (Gambar Kanan)

SIBU: Penangkapan seorang lelaki berumur 45 tahun di sebuah kediaman di Sungai Durin tengah hari semalam mengakhiri tuduhan rogol terhadap suspek terdahulu, seorang warga tua, 76, selepas keputusan DNA menunjukkan suspek sebenar adalah bapa kandung mangsa.

Keputusan DNA diterima pegawai penyiasat kes tersebut daripada Jabatan Kimia Kuching pada 29 Jun lepas menemui jawapan bahawa spesimen darah diambil padan dengan DNA mangsa.

“Keputusan DNA menyatakan ia adalah  milik ‘next-of-kin’ atau keluarga terdekat iaitu bapa mangsa sendiri,” kata sumber polis.

Terdahulu, polis telah dimaklumkan bahawa DNA suspek terdahulu didapati negatif dan tidak padan menyebabkan siasatan diteruskan sejak Mei lepas.

Dalam kejadian rogol pada 14 April lalu, pengadu, 68, nenek kepada mangsa mendapati cucu perempuannya, 15, kurang sihat dan sering muntah kosong awal pagi menyebabkan neneknya membawa mangsa berjumpa doktor seterusnya disahkan mengandung tujuh bulan.

Sejurus mengetahuinya, nenek dan ibu saudara membuat laporan polis di Balai Polis Sentral.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan gambaran diberi mangsa ketika siasatan yang menjurus kepada penangkapan seorang warga emas, iaitu jiran kepada mangsa.

Pada masa yang sama, kandungan mangsa mengalami keguguran pada tarikh yang tidak dapat dipastikan.

Apabila DNA suspek terdahulu tidak sepadan, pihak penyiasat meneruskan siasatan menjejaki suspek sebenar.

Susulan itu, polis mengambil spesimen DNA daripada dua lelaki iaitu bapa dan datuk mangsa, kedua-duanya tinggal bersama mangsa di kediaman mereka di Durin, kira-kira 45 kilometer dari bandar ini.

Selepas keputusan rasmi diperolehi Isnin lalu, ternyata orang dipercayai bertanggungjawab terhadap mangsa merupakan bapa kandung mangsa, yang juga seorang pekebun.

Suspek kini ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Ketua Polis Daerah ACP Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi mengesahkan kes tersebut dan perintah reman akan dipohon pada hari ini.