Sarawak diyakini kembali bangkit

0

Sudarsono melihat perubahan positif di kalangan pemain untuk baki perlawanan Liga Super 2015

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman menaruh kepercayaan terhadap pemain Sarawak untuk kembali bangkit dalam kempen Liga Super 2015.

Hasil perjumpaan bersama pemain dan pengurusan kelmarin, Sudarsono melihat perubahan positif dalam skuad dengan pemain berjanji untuk memberi aksi terbaik dalam baki sembilan perlawanan sebelum kempen liga melabuhkan tirai.

“Saya meletakkan kepercayaan tinggi terhadap pemain dan percaya mereka juga berhasrat untuk kembali mengubah nasib Sarawak.

“Ia petanda positif kerana kita mahu mempastikan kempen Sarawak pada musim ini tidak sia-sia,” ujar Sudarsono pada majlis berbuka puasa bersama pemain dan FAS anjuran Lea Sports Centre(LSC) di BCCK kelmarin.

Sudarsono yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan pihak pengurusan sedar pemain berada dalam keadaan tertekan kerana gagal memdapatkan keputusan yang diharapkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Justeru, beliau berharap selepas perjumpaan tersebut, pemain akan lebih tenang dan kembali mempamerkan pretasi terbaik selepas ini.

“Memang kita menuntut hasil daripada pemain namun pada masa yang sama pihak pengurusan tidak mahu terlalu menekan pemain bagi mengelak mereka terlalu tertekan.

“Saya percaya pemain juga sedar peranan mereka dan bertanggungjawab terhadap apa jua keputusan perlawanan,” tambah beliau.

Tegasnya lagi, kemampuan Sarawak pada musim ini dilihat setanding dengan pasukan-pasukan elit yang lain.

Ini berdasarkan pertemuan mereka dalam perlawanan sebelum ini di mana Sarawak mampu memberi saingan kepada mereka.

“Untuk perlawanan mendatang, kita perlu mempertajamkan lagi jentera serangan,” tegasnya.

Sudarsono juga berharap penyokong akan terus bersama dengan Sarawak ketika skuad sedang mengharungi masa yang sukar itu.

Pada masa sama, beliau mengharapkan kerjasama daripada para penyokong agar menjaga tingkah laku dengan tidak melakukan perkara yang melanggar peraturan pada perlawanan seterusnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Urusan LEA Holdings Raymond Sim, Naib Presiden FAS Sazali Abdul Rahman dan Setiausaha Agung FAS Abdullah Julaihi.