SMK Lubok Antu menganjurkan Program Kenali Baitulmal di Sri Aman

0

SRI AMAN: Panitia Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu menganjur Program Kenali Baitulmal di dewan Sekolah berkenaan dekat sini semalam.

Ketua Panitianya Ustaz Syaifullah Ismail berkata, program itu merupakan kali kedua diadakan di  sekolah berkenaan.

Menurutnya, pihak sekolah menjemput tiga pegawai Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Cawangan Sri Aman untuk menyampaikan peranan dan fungsi Baitulmal kepada pelajar dan guru yang bergama Islam di sekolah itu.

Katanya objektif utama program ini diadakan untuk memberi kefahaman dan pengetahuan peranan dan jenis bantuan yang boleh dimanfaatkan pelajar termasuk guru Islam di sini.

“Seramai 45 pelajar Islam, sembilan guru beragama Islam dan seorang kaunselor sekolah yang bukan beragama Islam terlibat dalam program ini,” katanya.

Jelasnya, antara yang diberi penekanan oleh pegawai TBS Ustaz Zulhazmi ialah pentingnya ilmu untuk pelajar mencapai masa depan cemerlang terutama selepas menduduki SPM.

“TBS sentiasa bersedia menghulur bantuan dalam bentuk kewangan kepada pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi,” jelasnya.

Manakala Ustaz Syaifullah Ismail turut berkongsi pengalaman beliau semasa belajar dulu yang mana TBS setiap tahun memberi bantuan kewangan bagi menampung pembelajaran beliau.

“Pihak sekolah berbesar hati dan berterima kasih atas sumbangan dan kerjasama diberi pihak TBS kepada sekolah khusus dalam memberi sumbangan dan perhatian kepada pelajar Islam di sini,” katanya.

Selain program Kenali Baitulmal, Panitia Pendidikan Islam bersama guru Islam telah merancang beberapa aktiviti sempena bulan Ramadan pada tahun ini.

Antaranya ialah tadarus al-Quran, penyerahan jadual berbuka puasa kepada pelajar dan guru Muslim, tazkirah oleh  pelajar, tabung ihya Ramadan, iftar Jamaie, khatamal  al-Quran  dan solat terawih berjemaah di surau dan masjid berdekatan.

“Saya berharap kerjasama yang sedia terjalin antara pihak sekolah dan Baitulmal akan berterusan,” katanya.