60 penerjun sertai Sibu BASE Jump

0

SIBU: Sibu BASE Jump 2015 bakal berlangsung dari 25 hingga 27 September ini dijangka disertai seramai 60 orang penerjun dari seluruh dunia.

Pengerusi Pasukan Petugas Penggalakkan Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG), Sim Kok Kee berkata kebanyakan penerjun yang mengikuti edisi ketujuh Sibu BASE Jump ini adalah peserta baharu.

“Seramai lebih kurang 60 penerjun mengambil bahagian dalam Sibu BASE Jump 2015 dan kebanyakan adalah penerjun belum pernah beraksi sebelum ini,” katanya di sini semalam.

Sim yang juga Residen Bahagian Sibu berkata, mereka baharu sahaja mengadakan mesyuarat pertama berkaitan Sibu BASE Jump 2015 pada minggu lalu.

“Bagi terjunan pada waktu malam, ia masih diteruskan namun bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya sambil menambah acara itu dianjurkan DTTG.

Pada tahun lalu, seramai 45 penerjun dari 11 negara mengambil bahagian termasuk Presiden Persatuan BASE Australia, Gary Cunningham yang beraksi semula di sini tahun ini.

Peserta tahun lalu termasuk dari Australia, Finland, Perancis, Ireland, Malaysia, Rusia, Singapura, Amerika Syarikat, Poland, Austria, Belanda, Brazil, Kanada, Denmark, Jerman, Norway dan Switzerland.

Sejak diperkenalkan tujuh tahun lalu, Sibu BASE Jump melibatkan terjunan dari atas bangunan Wisma Sanyan setinggi 126 meter semakin mendapat perhatian daripada penerjun dari seluruh dunia.

Mengenai aktiviti sampingan dianjurkan, Sim memberitahu mereka membincangkannya pada mesyuarat akan datang.