907 Suluk dihantar pulang selepas raya

0
UNTUKMU: Raika (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Robert ketika Majlis Perhimpunan Kakitangan Imigresen Bahagian Sri Aman di Sri Aman, semalam.

UNTUKMU: Raika (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Robert ketika Majlis Perhimpunan Kakitangan Imigresen Bahagian Sri Aman di Sri Aman, semalam.

SRI AMAN: Seramai 907 pendatang asing tanpa izin (PATI) keturunan Suluk akan dihantar pulang ke negara asal, Filipina selepas berakhir sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pengarah Imigresen Sarawak Datu Robert Lian berkata, kumpulan ketiga ini masih lagi berada di Miri dan sedang dalam proses pengeluaran dokumen perjalanan yang dikendali kedutaan Filipina.

“Mereka adalah PATI kumpulan ketiga menyerah diri secara sukarela untuk dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja tamat Upacara Perhimpunan Bersama Kakitangan Jabatan Imigresen Bahagian Sri Aman di Wisma Persekutuan Kejatau, di sini, semalam.

Menurut Robert lagi, kumpulan pertama dan kedua PATI Suluk sudah pun dihantar pulang ke negara asal mereka semenjak dua minggu lepas menggunakan khidmat bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kumpulan pertama dan kedua seramai 600 PATI Suluk sudah dihantar ke Sandakan, Sabah dari Bintulu menggunakan kapal KD Seri Mahawangsa sebelum menaiki feri untuk pulang ke Zamboanga (selatan Filipina),” katanya.

Beliau memberitahu bahawa Jabatan Imigresen Sarawak akan terus menjalin hubungan dengan agensi penguat kuasa lain bagi merisik kewujudan kumpulan PATI di negeri ini.

Terdahulu Robert bersama rombongannya kini sedang berada dalam rangka lawatan ke seluruh pejabat Imigresen (termasuk pos dan ICQS) dalam negeri ini menerusi Program Siri Jelajah Imigresen yang sudah bermula semenjak empat hari lepas.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Imigresen Bahagian Sri Aman, Raika Edwin bersama dengan barisan pegawai kanan Imigresen dari Lubok Antu dan di sini.