ATM sentiasa berwaspada jaga sempadan

0

Oleh Henrietta Liza//

 

UNTUK ALBUM: Fatimah (lima kanan) bersama Stephen (empat kanan) dan dif-dif kehormat lain bergambar bersama sumbangsih pemberian kerajaan negeri kepada pasukan keselamatan                        di Dewan Bukavu semalam.

UNTUK ALBUM: Fatimah (lima kanan) bersama Stephen (empat kanan) dan dif-dif kehormat lain bergambar bersama sumbangsih pemberian kerajaan negeri kepada pasukan keselamatan di Dewan Bukavu semalam.

KUCHING: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa berwaspada menjaga sempadan Sarawak-Kalimantan supaya sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata demikian selepas pulang dari negara berkenaan baru-baru ini.

“Kita ada pos di sebahagian besar sempadan. Saya baharu pulang dari Pontianak selepas mengadakan pertemuan dengan Panglima Konam 12, bagi membincangkan urusan diplomatik ketenteraan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis penyerahan kuih raya untuk anggota keselamatan sempena sambutan Aidilfitri di sini, semalam.

Katanya, banyak yang dibincang dalam pertemuan itu termasuk isu keselamatan dan mencapai kata sepakat bersama-sama menjaga ke-selamatan sempadan kedua-dua negara.

Bagaimanapun, Stephen enggan mendedah jumlah sebenar kes tangkapan atau pembukaan jalan tikus dan lorong gajah di sempadan negeri ini.

Tambah beliau, sewaktu musim perayaan nanti pasukan keselamatan Tentera Darat (TD) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas bersama-sama jabatan lain seperti Imigresen, PDRM dan Kastam untuk berkawal.

“Kalau di sempadan, rakan kita di Indonesia mereka juga beraya bersama-sama ketika bertugas dan berkawal,” katanya.

Jelasnya, terdapat sempadan Malaysia-Indonesia mewujudkan pos gabungan.

“Jumlah kekuatan dari Tanjung Datu ke Ba’Kelalan dan Bario ramai bagi menjalankan operasi tetapi kita tidak dapat mendedah jumlah sebenar.

“Jalan tikus memang ada dan ada telah ditutup, ada lorong baharu dibuka. Setiap kali ia berubah termasuk lorong gajah.

“Tetapi kita sedang memantau, memerhati dan mengawal aktiviti di jalan tikus dan lorong gajah.Kita tahu siapa melalui jalan tersebut dan kita ada gambar mereka,” jelasnya.

Stephen berkata juga, jumlah kes turut menunjukkan penurunan tetapi ia bukan bermaksud kumpulan pendatang ini tidak akan membuka laluan tikus baharu.

“Lorong tikus tidak tentu kerana kadangkala ia ditutup sebelum mereka kembali. Banyak aktiviti melintas sempadan tetapi situasi masih dalam keadaan terkawal.

“Kalau lalu kita tangkap tapi tidak dapat mendedahkan jumlah mereka melimpasi poin sempadan,” katanya lagi.

Setakat ini, terdapat sembilan pos kawalan pihak ATM di antara persempadanan Sarawak.

Stephen juga berterima kasih dengan pemberian kerajaan negeri yang prihatin mengenai kebajikan petugas keselamatan berkawal menjaga kesalamatan dan ketenteraman negara sewaktu lebaran.

Turut hadir sama semalam adalah Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah, Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismail Bujang Pit.

Selain Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak, Datin Dayang Fatimah Johari, Timbalan Pengarah Imigresen Sarawak, Hamfatullah Syawal Hamdan dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Noriah Ahmad di sini semalam.

Setiap jabatan telah diagih bungkusan yang mengandungi enam jenis kuih dan biskut seperti serunding da-ging, biskut rock, popia udang kering, maruku, kek hati pari dan kacang Cornflakes.