Curtin Sarawak tempat ketiga pertandingan IEM

0

MIRI: Pasukan Universiti Curtin Malaysia Sarawak (Curtin Sarawak) terdiri daripada empat pelajar kejuruteraan kimia berjaya mengharumkan nama kampus selepas memenangi tempat ketiga Pertandingan Rekabentuk Kejuruteraan Kimia Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM) 2014/2015 baru-baru ini.

Pasukan itu terdiri daripada ketua kumpulan Chen Wai Mun, Kristy Nyagang, Byron Jong Tze Lerk dan Lek Zhan Hong di bawah penasihat Dr. Stephanie Chan Yen San dari Fakulti Kejuruteraan dan Jabatan Sains Kejuruteraan Petroleum dan Dr. Mesfin Getu Woldetensay dari Jabatan Kejuruteraan Kimia.

Sebanyak sembilan institusi pengajian tinggi seluruh negara menyertai pertandingan bertemakan Reka Bentuk Teknikal dan Analisis Ekonomi Potensi Penggunaan Glycerol Mentah’yang menobatkan Taylor’s University sebagai johan manakala Universiti Malaysia Sabah jatuh tempat kedua.

Setiap pasukan dihendaki bertindak sebagai perunding reka bentuk dan diminta mencadang potensi penggunaan glycerol mentah dalam pengeluaran kimia.

Pertandingan itu bertujuan memantap kecekapan pelajar secara praktikal dan metodologi di samping memberi peluang menimba ilmu pengetahuan dan profesion kejuruteraan.

Ia diadakan untuk pelajar kejuruteraan kimia peringkat diploma dan ijazah untuk universiti tempatan dan swasta. Pemenang menerima hadiah berupa wang tunai dan sijil penyertaan.