Dua pelajar cedera selepas motosikal berlanggar kereta

0
TERPEROSOK: Keadaan motosikal ditunggangi kedua-dua remaja terbabit selepas kemalangan.

TERPEROSOK: Keadaan motosikal ditunggangi kedua-dua remaja terbabit selepas kemalangan.

KUCHING: Dua pelajar lelaki dikejar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas motosikal ditunggangi mereka berlanggar sebuah kereta berdekatan Taman Malihah, di sini kelmarin.

Kedua-dua mangsa berusia 13 dan 15 tahun semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan ke kedai runcit berdekatan rumah untuk membeli peralatan persekolahan sekitar jam 10.30 malam.

Mereka menunggang sebuah motosikal bagaimanapun bernasib malang apabila berlanggar sebuah kereta jenis Toyota Unser ketika keluar simpang kawasan perumahan berkenaan.

“Akibat itu, kedua-dua mangsa terperosok di bawah kereta tersebut. Mangsa berusia 13 tahun dikhuatiri patah tulang kakinya manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kepala.

“Kedua-duanya dibantu orang awam sementara menunggu ketibaan anggota paramedik,”kata sumber.

Selepas diberi rawatan kecemasan, kedua-dua mangsa dikejarkan ke HUS menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sehingga berita ini ditulis, kedua-dua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan HUS.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang gadis berusia 20-an juga dikejarkan ke HUS selepas dipatuk ular ketika makan malam di Jalan Stutong Baru, di sini kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa bersama keluarganya pergi ke sebuah kedai makan berdekatan tempat kejadian.

Bagaimanapun, selesai makan malam sekitar jam 10 malam, mangsa dalam perjalanan menuju ke keretanya tiba-tiba merasakan kakinya mengalami kesakitan dan melihat seekor ular.

“Dia menjerit ketakutan dan mengerang kesakitan menyebabkan keluarganya kemudian terus mengejarnya ke HUS mendapatkan rawatan,”kata sumber.

Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan dibenar pulang selepas mendapatkan rawatan di HUS.