Gara-gara mabuk, rosak plat kenderaan dua lelaki ditahan

0

KUCHING: Gara-gara mabuk menyebabkan dua lelaki ditahan selepas bertindak mematahkan plat pendaftaran lima buah kenderaan milik Bank Simpanan Nasional (BSN) di Satok semalam.

Menurut sumber, dua lelaki terbabit berusia sekitar 20-an, masing-masing berasal dari Kampung Hilir, Maludam dan Kampung Bintawa Tengah dikatakan bertindak sedemikian sekitar jam 3.20 pagi.

Difahamkan, semasa kejadian suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol dilihat berkeliaran di kawasan bank berkenaan sebelum bertindak mematahkan semua plat pendaftaran tersebut.

“Suspek tiba-tiba sahaja mematahkan plat kenderaan sebuah Pajero Sport, empat buah van Toyota milik BSN menyebabkan dua anggota Polis Bantuan bertugas segera menahan mereka.

“Kedua-dua lelaki terbabit dipercayai mabuk kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Laporan polis berhubung kejadian juga dibuat oleh anggota Polis Bantuan terbabit dan siasatan lanjut masih dijalankan.