Giliran pati cinta

1

Oleh Henrietta Liza//

KONGSI KECERIAAN: Hamfatullah (tiga kiri) menerima sekotak sumbangan kuih raya mewakili anggota JIM Sarawak daripada Fatimah pada majlis tersebut.

KONGSI KECERIAAN: Hamfatullah (tiga kiri) menerima sekotak sumbangan kuih raya mewakili anggota JIM Sarawak daripada Fatimah pada majlis tersebut.

KUCHING: Selepas kejayaan mengusir warga Filipina berbangsa Suluk dalam dua operasi sebelum ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak kini menetapkan sasaran mengusir warga Republik Rakyat China (PRC) yang tinggal melebihi tempoh di negeri ini.

Timbalan Pengarah Imigresen Sarawak Hamfatullah Syawal Hamdan berkata, kawasan panas pendatang asing tanpa izin (PATI) didiami warga Indonesia, Filipina selain China ialah Sibu, Miri, Bintulu dan Mukah.

“Kita dapat maklumat risikan yang Sarawak berdepan ancaman terbesar PATI warga China,” katanya sambil memberitahu jumlah PATI China semakin meningkat saban hari.

Jelasnya, PATI China menyalah guna pas dan tinggal di negeri ini secara haram, tinggal melebihi had waktu tanpa dokumen dan menjalani kehidupan seperti masyarakat Cina tempatan.

“Kita berdepan masalah mengenal pasti sama ada mereka Cina tempatan atau dari Tanah Besar China. Namun, kita berusaha membanteras masalah ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan kuih raya kepada anggota keselamatan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Bukavu di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Maritim Ismail Bujang Pit, Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak Datin Dayang Fatimah Johari, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad.

Hamfatullah menjelaskan, bagaimanapun operasi pengusiran itu banyak bergantung kepada peruntukan kewangan yang dipohon JIM bagi tujuan pelaksanaannya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, purata warga asing keluar masuk menerusi sempadan Sarawak-Kalimantan adalah antara lima dan 10 orang sehari.