Inisiatif lindungi rizab tanah dipuji

0

Oleh Watt Zacchaeus//

 

BERAKHIRNYA GAWAI: Gramong (tengah) serta kenamaan lain sedang melakukan simbolik menyempurnakan Majlis ‘Ngiling Bidai’ PPKSAKA di Sibu, baru-baru ini.

BERAKHIRNYA GAWAI: Gramong (tengah) serta kenamaan lain sedang melakukan simbolik menyempurnakan Majlis ‘Ngiling Bidai’ PPKSAKA di Sibu, baru-baru ini.

SIBU: Inisiatif yang dilaksanakan oleh ahli Persatuan Pembangunan Komuniti Sungai Aya-Kejungoh-Ayam (PPKSAKA) untuk melindungi kira-kira 2,000 hektar rizab tanah komunal mereka daripada aktiviti pencerobohan tanah dipuji.

Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Gramong Juna berkata, persatuan itu boleh melangkah ke hadapan dengan baik seiring dengan dasar-dasar kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Ketua Menteri telah berkata bahawa beliau suka melihat flora dan fauna kita terpelihara. Itulah sebabnya beliau memerangi pembalakan haram dan berhenti memberi lesen perladangan,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis ‘Ngiling Bidai’ PPKSAKA di sebuah restoran di sini, baru-baru ini.

Gramong yang juga Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) memberitahu penduduk rumah panjang boleh meneroka peluang-peluang ekonomi yang diwujudkan melalui usaha pemeliharaan tanah itu.

“Tidak banyak hutan yang tinggal di dunia ini. Kawasan di Sungai Aya-Kejungoh-Ayam boleh menjadi tarikan pelancongan baharu di Poi, Kanowit.

“Saya percaya bukan sahaja pelancong asing tetapi penduduk tempatan juga ingin melihat bagaimana rupanya sarang kelawar. Di kawasan tersebut masih ada sarang kelawar untuk dilihat,” katanya.

Mengenai politik, Gramong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan berharap dapat memperolehi majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan sokongan ahli-ahli PPKSAKA.

Jelasnya, beliau gembira kerana PPKSAKA mempunyai seramai 280 ahli yang menentangnya sebelum ini telah mengembalikan sokongan mereka terhadapnya sekarang.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua ahli-ahli persatuan untuk berdiri teguh di belakang Ketua Menteri pada PRN akan datang.

“Beliau adalah seorang yang sangat dedikasi dan akan kotakan apa yang beliau cakap. Beliau telah melakukan banyak untuk rakyat sejak beliau menjadi Ketua Menteri,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi PPKSAKA Sao Asing yang mewakili ahli-ahli persatuan ini menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada PRN akan datang.

Beliau mengakui bahawa persatuan itu telah menentang kerajaan BN sebelum ini kerana mereka menentang kegiatan pembalakan haram di kawasan Sungai Aya-Kejungoh-Ayam yang menghancurkan tanah komunal mereka.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri, Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong, Pegawai Pentadbiran Pejabat Daerah Kanowit Jabang Juntan dan Pengerusi Pengelola Majlis Andam Abong.