Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah SABERKAS Katibas, 24 hingga 26 Julai

0

KAPIT: Pasukan bola sepak di daerah Song dijemput mengambil bahagian pada Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah anjuran SABERKAS Katibas, bermula 24 hingga 26 Julai ini.

Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Katibas, Hamzah Bohari berkata pertandingan tiga hari itu diadakan di padang bola sepak SRB Cardinal Vaughan School (CVS) Song.

Beliau berkata, pertandingan itu bagi merapatkan hubungan silaturahim ahli-ahli SABERKAS dengan jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Selain itu, menggalakkan masyarakat setempat melibatkan diri dengan lebih aktif dalam aktiviti sukan ke arah gaya hidup sihat,” jelasnya.

Ketika mempengerusikan mesyuarat penubuhan jawatankuasa penganjur, Hamzah berkata acara pembukaan disempurnakan Pegawai Daerah Song, Jackline August pada 24 Julai.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Datuk Ambrose Blikau Enturan dijangka hadir merasmikan majlis penutupan dan penyampaian hadiah pada 26 Julai,” katanya.

Hamzah berkata, pelbagai hadiah lumayan menanti para pemenang yang bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai, trofi dan medal.

“Yuran pendaftaran RM100 dikenakan setiap pasukan. Tarikh akhir menghantar borang penyertaan pada 20 Julai ini,” ujar beliau.

Untuk sebarangan pertanyaan lanjut sila hubungi Mohd Fairuz di talian 019-8656475.

Hadir sama Pegawai Tadbir Sarawak, Ronal Garry Gerisah mewakili Pegawai Daerah Song, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Jimmy Ribut dan ahli-ahli jawatankuasa penganjur.