Lelaki rentung, duduk atas mangkuk tandas

0
TERBAKAR: Anggota bomba bertungkus-lumus memadam api yang sedang marak dalam kejadian itu.

TERBAKAR: Anggota bomba bertungkus-lumus memadam api yang sedang marak dalam kejadian itu.

SRI AMAN: Seorang lelaki berusia 35 tahun rentung dalam kejadian kebakaran yang meranapkan sebuah rumah sewa mangsa di Jalan Resak di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 2.47 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Joseph Adil Dom berasal dari Rumah Engkana, Aping Pantu rentung dalam keadaan duduk di atas mangkuk tandas rumah sewa berkenaan.

Jurucakap polis memberitahu, mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri namun gagal.

“Maklumat awal mendapati mangsa tinggal seorang diri dan menyewa rumah tersebut. Rumah kayu usang itu difahamkan tiada bekalan elektrik dan mangsa hanya menggunakan lilin atau pelita pada waktu malam,” katanya.

Jelas jurucakap itu lagi, mangsa masih bujang dan bekerja di sebuah pusat snuker di sini.

Mayat mangsa dibawa pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum dirujuk ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.

Seramai lapan anggota bomba dan penyelamat Sri Aman bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar jam 3 pagi.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.10 pagi dan dipadam sepenuhnya oleh anggota bomba pada jam 3.47 pagi.

Punca kejadian masih disiasat.