Pemantauan perairan negara ditingkat

0

Oleh Ambrose Rirang//

 

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Bintulu akan meningkatkan lagi operasi serta pemantauan sekitar perairan negara bagi memastikan tidak berlaku sebarang kegiatan haram atau menyalahi udang-undang.

Ketua Penguatkuasaan Maritim Daerah Bintulu Rahim Ramli berkata, APMM Daerah Bintulu akan membuat pemantauan serta rondaan lebih kerap khususnya menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri ini bagi meningkatkan tahap operasi dan penguat kuasa menjelang perayaan.

“Apa lebih penting ialah pihak APMM Daerah Bintulu ingin memastikan tahap keselamatan perairan negara berada memuaskan terutamanya bebas sebarang pencerobohan nelayan asing yang cuba mengaut hasil laut di perairan negara dengan cara haram menyebabkan kepupusan hasil laut,” ujarnya.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Bingkisan Ramadan Bersama Anak Yatim yang diadakan bertempat Kompleks Kebajikan Anak-Anak Yatim Bintulu (PERYATIM) yang terletak di Kampung Jepak, di sini semalam.

Jelasnya, walaupun masyarakat beragama Islam di bahagian ini sibuk membuat persiapan menyambut Hari Raya, namun ia bukan alasan APMM untuk tidak perlu menjalankan tugas menjaga keselamatan perairan negara yang terdedah ancaman luar.

“Saya menggesa masyarakat setempat khususya golongan nelayan agar melapor dengan kadar segera kepada APMM jika melihat sebarang kegiatan haram atau pencerobohan nelayan asing secara terang-terangan di perairan negara,” jelasnya.

Bagi tujuan itu katanya, mana-mana invidu terlihat sebarang kegiatan haram yang menyalahi undang-undang berlaku di perairan negara boleh menghubungi talian Maritim Malaysia yang beroperasi 24 jam di talian 086-314024 atau hubungi talian kecemasan MERS 999 sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Pengarah Operasi Daerah Bintulu, Muhammad Suffi Mohd Ramli dan Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan APMM Bintulu (SUKMAS), Duke Janteng antara yang hadir.