PUSAKA sumbang RM266,000 untuk pertubuhan kebajikan, NGO

0

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan anak-anak syarikatnya semalam menyampai sumbangan berjumlah RM266,000 kepada 59 pertubuhan kebajikan dan badan-badan bukan kerajaan (NG0).

Penyampaian sumbangan telah disempurna Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Seminar PUSAKA, Wisma Sumber Alam di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Awang Tengah yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA berkata, sumbangan ini bertujuan membantu pertubuhan kebajikan, badan amal, badan agama, pendidikan dan pihak NGO menjalankan aktiviti di samping membantu golongan memerlukan.

Beliau berharap agar penerima dapat menjalankan aktiviti lebih aktif dan berkesan terutama kepada ahli dan orang awam yang memerlukan bantuan dan sokongan.

“Pelbagai langkah telah dilaksana, dipantau dan ditambah baik untuk menentukan keberkesanannya agar sumbangan ini sampai kepada golongan sasaran.

“Ini memerlukan kerjasama dan komitmen sepenuhnya daripada semua pihak sama ada jabatan atau agensi kerajaan, NGO, sektor swasta dan rakyat pada keseluruhannya,” katanya.

Bercakap mengenai majlis itu semalam, ia merupakan aktiviti tahunan PUSAKA dan anak-anak syarikatnya sejak tahun 1982 hasil idea Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang ketika itu adalah Ketua Menteri Sarawak.

Usaha ini juga selaras dengan usaha kerajaan negeri bagi mewujud masyarakat prihatin dalam kalangan organisasi korporat dan melaksana tanggungjawab sosial korporat terhadap masyarakat.

Turut hadir, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Promosi dan Pelaburan), Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Tetap Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datu Sudarsono Osman, Ahli Lembaga Pengurusan PUSAKA Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain dan Pengurus Besar PUSAKA Datu Sarudu Hoklai.