Sebulan perhentian bas dijadikan rumah

0
PERLU TINDAKAN SEGERA: Pemuda yang dipercayai tidak siuman tidur di perhentian bas pasar baharu Demak Laut, Jalan Bako.

PERLU TINDAKAN SEGERA: Pemuda yang dipercayai tidak siuman tidur di perhentian bas pasar baharu Demak Laut, Jalan Bako.

KUCHING: Kehadiran seorang pemuda dipercayai tidak siuman di perhentian bas berdekatan pasar baharu Demak Laut di Jalan Bako mengundang rasa tidak selesa orang ramai di situ.

Tinjauan Utusan Borneo mendapati pemuda berusia dalam lingkungan 30-an itu menjadikan perhentian bas seperti rumah sendiri.

Nazirol Sama’ail, 27, yang bekerja di sebuah syarikat tempatan di situ berkata, pemuda itu lebih sebulan tinggal di perhentian bas berkenaan.

“Di situlah dia tidur dan makan setiap hari sejak sebulan lalu. Tidak tahu dia berasal dari mana kerana tidak berani bertanya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di pasar baharu Demak Laut di sini, semalam.

Katanya, kehadiran pemuda itu menimbulkan rasa tidak selesa dan selamat penduduk setempat yang mahu menunggu bas di situ.

“Ramai berasa bimbang akan keselamatan mereka kerana khuatir diganggu pemuda terbabit selain bau busuk ekoran sisa makanan dibuang sekitar perhentian bas berkenaan,” tambahnya.

Jelasnya lagi, keadaan pemuda terbabit yang tidak terurus dan berbau menyebabkan orang ramai takut menghampiri tempat itu.

“Kita bimbang akan keselamatan penduduk setempat dan pengguna bas yang menunggu di situ, sebab itu kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini,” tegasnya.

Selain itu, Nazirol melahirkan rasa bimbang terhadap kesihatan pemuda terbabit kerana tidak diurus dengan betul.

Justeru, beliau menggesa pihak berwajib khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar mengambil langkah terbaik menempatkan pemuda terbabit di tempat yang sepatutnya.

“Kalau dia berterusan seperti sekarang, kita khuatir suatu hari dia mengganggu ketenteraman kawasan ini,” ujarnya.