Situasi semakin genting

0

Oleh Harry Ilias//

TAKLIMAT: Alberts memberi taklimat kepada pemain-pemainnya sebelum memulakan latihan.

TAKLIMAT: Alberts memberi taklimat kepada pemain-pemainnya sebelum memulakan latihan.

Sarawak perlukan kemenangan ke atas Terengganu pada aksi malam ini

KUCHING: Dua kekalahan berturut-turut pada perlawanan sebelum ini meletakkan skuad Sarawak berada pada situasi sukar dan amat genting, lantas memerlukan kemenangan mutlak ke atas Terengganu pada perlawanan Liga Super 2015 di kandang lawan malam ini.

Bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Kuala Terengganu, Sarawak dalam misi memburu kemenangan mutlak untuk menghidupkan semula peluang dalam saingan liga musim ini.

Meskipun menyedari ia bukan tugas mudah, pengendalinya, Robert Alberts tetap menabur kepercayaan di bahu semua pemainnya untuk membawa pulang tiga mata penuh.

Keyakinan beliau kian membuak-buak apabila semua pemain mula menunjukkan perubahan positif selepas sesi perjumpaan bersama pihak pengurusan, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) baru-baru ini.

“Semua pemain mengakui mereka tidak bermain pada tahap sebenar pada perlawanan sebelum ini dan mengundang padah kepada skuad Sarawak.

“Justeru itu, saya mengharapkan mereka akan kembali dengan corak permainan lebih mantap pada pertemuan dengan Terengganu esok (malam ini) untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita,” kata Alberts ditemui pada sesi latihan di sini kelmarin.

Bagaimanapun, skuad Ngap Sayot bakal berdepan ujian berat berdepan Terengganu selepas kehilangan dua pemain tonggak.

Menurut Alberts, pemain sayap Joseph Kalang Tie digantung perlawanan manakala Rames Lai masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan ibu jari kaki.

“Ia kehilangan yang cukup besar ketika skuad kita berdepan lawan yang sukar. Namun, saya tetap menaruh kepercayaan di bahu pemain-pemain lain memastikan kita meraih tiga mata penuh,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pemainnya agar tidak memandang rendah keupayaan Terengganu yang juga berada dalam situasi sukar ketika ini.

Tambahnya, kemampuan skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu tampak sukar untuk diduga dan mampu mengundang bahaya jika pemain tidak mempertajam fokus mereka.

Sarawak akan memintas Terengganu di tangga kelapan sekiranya berjaya mencatat kemenangan berharga malam ini.

Perlawanan kedua-dua pasukan akan bermula jam 10 malam.