20 kampung sekitar Bintulu terima bubur pedas

0

BINTULU: Malaysia LNG Group of Companies (MLNG) yang merupakan ahli kumpulan Petronas dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Bintulu FM telah mengada kerja gotong-royong memasak bubur pedas sebelum mengagihnya kepada ketua kaum di Kelab Kidurong Bintulu untuk disumbang kepada penduduk Islam di Majid As-Syarikin semalam.

Penyampaian bubur pedas kepada ketua kaum itu telah disempurna oleh Residen Bahagian Bintulu, Muhamad Yakup Kari  dan disaksikan oleh Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MLNG, Dzafri Sham Ahmad, Temenggung Abang Suhaili Abang Mohamad dan Pemanca Rosli Kamaruddin.

Penyediaan bubur pedas itu dilaku secara gotong-royong melibat ahli dan kakitangan beberapa pertubuhan bermula dari proses menyediakan bahan-bahan, memasak sehinggalah kepada pengagihannya.

Sebanyak 1,000 bekas mengandungi bubur pedas sejenis makanan istimewa pada bulan Ramadan diagihkan kepada 20 kampung sebelum diagih-agih kepada orang ramai.

Program itu bertujuan untuk mewujudkan hubungan baik antara pihak terlibat antaranya kakitangan MLNG dengan penduduk setempat.

Muhamad Yakup berkata, program itu walaupun dilihat mudah tetapi amat bermakna serta bernilai tinggi dalam mengukuh hubungan antara pihak yang terlibat dengan penduduk setempat.

“Saya berharap program itu dapat dijadikan mercu tanda sambutan Ramadan di bahagian ini dan sebagai satu budaya supaya seluruh penduduk Bintulu dapat menikmati masakan makanan bubur pedas yang enak,” katanya berucap di majlis itu.

Beliau berkata, melalui program itu hubungan dengan MLNG sebagai sebuah syarikat bersifat global menjadi nadi penggerak utama industri di Bintulu akan lebih bermakna dan dapat diteruskan dan diperluaskan ke Sebauh dan Tatau pada masa akan datang.

Seramai 200 sukarelawan terlibat dalam kerja-kerja memasak bubur pedas tersebut yang merangkumi Jabatan Pendidikan Daerah Bintulu, Jawatankuasa Kebajikan Islam ABF (JASA), Jabatan Kebajikan Islam BDA (BAHARIS), Usrah Darul Hidayah, Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Wanita Bahagian Bintulu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Bintulu.

Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Bintulu, Persatuan Kebajikan Islam Hospital Bintulu, Urus Setia Saudara Kita, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA)Bintulu, Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) Bintulu, Badan Warisan, Sejarah dan Kebudayaan Vaie (BAWARIS), Kelab Kidurong Bintulu, PETRONITA, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Similajau dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kampung Assyakirin Fasa 1.