Biar SPRM menjalankan tugas, ambil tindakan, kata Zabidi

0

KUCHING: Biar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan tugas mereka dan mengambil tindakan selanjutnya mengenai dakwaan penyelewengan berkaitan e-perolehan. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pihaknya hanya menyerahkan kepada SPRM menyiasat serta menyelesaikannya terlebih dahulu mengenai perkara itu.

“SPRM sedang siasat, jadi kita biar SPRM selesaikan siasatan… saya tidak dapat mengulas lanjut kecuali perkara ini selesai.

“Ini kerana apabila SPRM membuat siasatan mereka juga mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ditemui selepas menyaksikan majlis penyerahan Surat Pelantikan Kenaikan Pangkat Penjawat Awam Negeri yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Ghani di sini kelmarin.

Kelmarin, akhbar nasional dipetik sebagai berkata, penyelewengan kontrak ekspres menerusi sistem e-perolehan berlaku di kebanyakan agensi kerajaan kerana ruang dan peluang wujud dalam sistem itu.

Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata menerusi e-perolehan semua harga tawaran boleh diketahui orang dalam sebaik syarikat pembekal masuk tender.

Irmohizam berkata, ia sekali gus membolehkan seseorang berkepentingan dalam jabatan menyalurkan maklumat kepada syarikat pilihan memasukkan permohonan pada hari terakhir sebelum tender ditutup.

Sementara itu, dalam ucapannya Zabidi berkata, penjawat awam disarankan supaya berfikir di luar lingkungan kotak kelaziman yang bersifat ‘breakthrough’ untuk mencari, meneroka dan mencipta.

“Dalam menghadapi realiti dan masa hadapan semakin mencabar, Perkhidmatan Awam hendaklah keluar kepompong konvensional, kepada pertumbuhan berteraskan inovasi seterusnya membawa kepada peningkatan produktiviti.

“Cabarannya adalah bagaimana kita boleh melaksanakan program dan aktiviti dirancang dengan kos lebih rendah serta beroleh penjimatan tanpa berkompromi kualiti dan kuantiti,” katanya.