Dalami al-Quran sebagai panduan hidup

0

BINTULU: Masyarakat Islam di negeri ini perlu mempelajari dan mendalami ajaran terkandung dalam al-Quran supaya ilmu dalam kitab suci itu mampu menjadi panduan hidup seharian.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, untuk mendalami ilmu dan ajaran al-Quran golongan cerdik pandai dalam bidang itu amat diperlu supaya dapat menyebar ajaran al-Quran sebagai sumber ilmu kepada masyarakat Islam di negeri ini.

Menurutnya, tanggungjawab memelihara dan menegak Islam bukan satu tugas mudah bahkan memerlu kerjasama masyarakat Islam seluruhnya dan organisasi Islam di negeri ini.

“Sarawak didiami masyarakat pelbagai kaum dan berbeza anutan agama namun usaha untuk memajukan Islam tiada halangan kerana Sarawak mempunyai hak melalui Majlis Islam Sarawak (MIS) yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara kesucian agama Islam,” ujarnya.

 

Tun Pehin Sri Taib berkata demikian dalam amanatnya sempena sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak 1436 Hijrah  di Masjid As-Syakirn malam semalam.

Menurutnya, Majlis Islam di negeri ini sebagai organisasi Islam merancang pelbagai aktiviti dan program meningkat kefahaman masyarakat Islam mengenai ajaran Islam serta memberi peluang kepada masyarakat bukan Islam memahami Islam sebenar tanpa memaksa memeluk Islam.

Beliau berkata, melalui cara itu masyarakat Islam dan bukan Islam di negeri ini dapat memahami antara satu sama lain serta mampu mengukuhkan hubungan supaya tidak timbul niat jahat yang boleh memecah-belahkan perpaduan penduduk pelbagai kaum dan agama yang ada.

Katanya, telah terbukti dalam sejarah Islam melalui doktrin yang termeterai di Mekah, Islam menghormati penganut agama lain bahkan pelbagai agama juga perlu menghormati Islam supaya tidak timbul kerosakan yang boleh memecah-belah perhubungan dalam masyarakat di situ.

“Begitu juga keadaan masyarakat di Sarawak yang perlu memahami anutan agama masing-masing dan masyarakat Islam pula perlu mengamalkan ajaran Islam dengan niat meningkat keamanan dan kerjasama dengan semua golongan,”  katanya.

Jelasnya, masyarakat Islam yang menghantar anak-anak ke sekolah tinggi pula perlu memberikan mereka ajaran Islam sebenar terutamanya dalam keadaan dunia moden di peringkat antarabangsa dan dunia yang begitu mencabar bagi generasi muda Islam.

Katanya, perkembangan Islam di negara luar misalnya di Amerika Syarikat termasuk beberapa tempat di dunia cukup baik.

“Dan di Sarawak juga Islam berkembang baik meskipun masyarakat Islam di negeri ini golongan minoriti bahkan penganut agama lain juga bebas menganut agama masing-masing seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.” katanya.

Sebelum itu Tun Pehin Sri Taib dan isteri Toh Puan Datuk Seri Ragad Kurdi Taib bersama masyarakat Islam setempat turut berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat Terawih berjemaah.

Ceramah khas Nuzul al-Quran turut disampai di majlis itu oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya yang memperkatakan mengenai ajaran al-Quran serta kewajaran mempelajari dan mendalami isi kandungan dalam kitab suci itu melalui pembacaan dan terjemahannya.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak Datuk Talib Zulpilip.