Dasar Pemisah jadi kayu ukur prestasi kerja penjawat awam

0

KUCHING: Kerajaan bakal melaksana Dasar Pemisah kepada penjawat awam yang mendapat penilaian prestasi kerja bawah 60 peratus bermula 2016, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Katanya, dasar itu akan dilaksana tahun hadapan membabitkan penjawat awam seluruh negara tetapi penilaian awal telah dilakukan pada tahun ini.

“Bagi mereka mendapat prestasi markah bawah 60 peratus buat pertama kali, kerajaan akan memberi tempoh pemulihan dengan menukar penyelia sedia ada kepada penyelia lain untuk memberin peluang kedua.

“Bagaimanapun, jika masih menunjuk prestasi bawah 60 peratus walaupun dikendali penyelia baharu, kerajaan tidak mempunyai pilihan lain selain memberi keputusan untuk persaraan awal,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Surat Pelantikan Kenaikan Pangkat Penjawat Awam Sarawak dan Majlis Berbuka Puasa yang dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani di sini, kelmarin.

Jelas Zabidi, tempoh pemulihan bagi penjawat awam terlibat adalah selama setahun merangkumi dua tempoh iaitu enam bulan pertama dan enam bulan kedua.

Beliau menjelaskan Dasar Pemisah berkenaan antara dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) dalam memperkasa penjawat awam mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani berkata, pelantikan berkenaan melibatkan kumpulan pertama seramai 101 pegawai kerajaan negeri.

“Mereka diberi kenaikan kepada Gred 44 dan Gred 48.

“Pegawai kumpulan pertama telah melalui proses kenaikan pangkat melalui ‘Career Progression Framework’ yang ditetap penjawat awam negeri.

“Seramai lebih kurang 167 lagi pegawai di Gred 41 masih dalam proses untuk ditemuduga. Bagi yang berjaya nanti, tarikh kenaikan pangkat kumpulan pertama hari ini berkuat kuasa 1 Julai 2015,” katanya.

Menurut Morshidi lagi, pada masa sama, proses kenaikan pangkat Gred 48,52 dan 54 juga dilaksanakan.

Tambah beliau, ia masih dalam proses penilaian bawah career progression framework yang menilai tahap kecekapan dan kompetensi.

“Ia bagi memastikan pegawai dinaik pangkat benar-benar layak dan memiliki tahap kompetensi diperlu untuk gred yang disandang,” kata Morshidi.